SHAH ALAM – Langkah Majlis Perubatan Malaysia (MMC) melarang pengeluaran sijil cuti sakit (MC) melalui telekonsultasi dilihat sebagai peringatan penting yang sudah lama diperlukan bagi memastikan setiap Pengamal Perubatan Berdaftar (RMP) kekal mematuhi tanggungjawab profesional masing-masing.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr Thirunavukarasu Rajoo berkata, kenyataan MMC itu hadir ketika penyampaian perkhidmatan kesihatan semakin dipengaruhi korporatisasi dan platform digital komersial, sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap campur tangan bukan klinikal dalam keputusan rawatan.
Menurutnya, trend semasa menunjukkan keputusan klinikal semakin banyak didorong pentadbir bukan perubatan, syarikat insurans dan platform pihak ketiga yang memberi fokus kepada penjimatan kos.
*Ini sekali gus meningkatkan risiko doktor menjadi sekadar pelaksana skrip rawatan tanpa konteks sebenar atau kesinambungan penjagaan," ujarnya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, meskipun platform digital mungkin terlepas daripada liabiliti, doktor tetap memikul tanggungjawab penuh terhadap setiap keputusan rawatan kerana hubungan doktor-pesakit kekal sebagai prinsip utama yang boleh dikuatkuasakan dari segi undang-undang.
“Di bawah Seksyen 29 Akta Perubatan 1971, MMC mempunyai kuasa penuh untuk mengambil tindakan terhadap RMP yang didapati bersalah melakukan kelakuan keji dari segi profesional, termasuk membuang nama daripada daftar, menggantung amalan, mengenakan denda atau memberi teguran rasmi,” ujarnya.
Jelas beliau, kelakuan keji merangkumi kecuaian melampau, amalan tidak beretika, campur tangan bukan klinikal dalam keputusan perubatan, pemalsuan dokumen atau kegagalan bertindak demi kepentingan pesakit.
Tindakan tatatertib juga terpakai walaupun salah laku berlaku di bawah tekanan majikan atau platform digital kerana tanggungjawab profesional tidak boleh dipindahkan atau dikompromikan.
Sehubungan itu, MMA mengingatkan semua RMP agar sentiasa membuat pertimbangan klinikal secara bebas dan memastikan dokumentasi lengkap, terutama dalam telekonsultasi, model rawatan dipacu syarikat insurans atau dasar perubatan yang ditentukan majikan.
MMA turut menggesa doktor tampil bersuara jika diminta bertindak bertentangan dengan etika profesional, sambil menegaskan persatuan itu bersedia membantu mana-mana pengamal yang mempertahankan keselamatan pesakit dalam menghadapi tekanan komersial.
Dalam masa sama, MMA menyeru majikan, syarikat insurans, platform kesihatan digital dan operator pengurusan penjagaan supaya memastikan inovasi dalam penjagaan kesihatan tidak menjadikan perkhidmatan itu sebagai komoditi, sebaliknya mengekalkan pendigitalan beretika, tadbir urus baik dan autonomi perubatan.
“Inovasi dialu-alukan, namun asas profesion perubatan tidak boleh dikompromikan. Kenyataan MMC ini perlu menjadi titik perubahan dalam memastikan keselamatan, akauntabiliti dan profesionalisme terus dipertahankan,” tambahnya.