Kesan bot karam: Hasil laut Langkawi selamat, tiada ancaman kesihatan

Iklan
Amar Pared - Foto Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA)

LANGKAWI - Tiada kesan pencemaran atau risiko ancaman kesihatan terhadap hasil laut susulan insiden bot karam membabitkan kematian mangsa pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan Langkawi baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Amar Pared Mahamud mengesahkan, pemantauan dilakukan agensi berkaitan juga memaklumkan tiada pencemaran mahu pun risiko kesihatan kepada pengguna.

Iklan
Iklan

Menurutnya, lokasi bot karam berada di luar pesisir dan perairan antarabangsa Malaysia - Thailand iaitu jauh daripada kawasan tangkapan nelayan tempatan.

“Hasil laut Langkawi kekal segar dan berkualiti. Orang ramai diminta tidak terpengaruh dengan maklumat yang tidak sahih,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Beliau menegaskan bahawa mana-mana pihak diminta tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak benar sehingga menjejaskan pendapatan nelayan.

Katanya, golongan itu meluahkan kebimbangan berhubung penyebaran maklumat membabitkan keselamatan makanan laut Langkawi selepas insiden bot karam berlaku.

Iklan

"Satu perjumpaan telah diadakan bersama nelayan di Kampung Sungai Menghulu bagi mendengar sendiri kebimbangan mereka tentang pendapatan kemungkinan merosot ketara akibat cerita tidak tepat tentang hasil laut Langkawi tercemar," katanya.

Dalam pertemuan itu, beliau turut menyampaikan sumbangan jala baharu sebagai sokongan kepada kelangsungan kegiatan mereka.

Sebelum ini, laporan portal media menyebut situasi itu bukan sahaja menimbulkan kebimbangan terhadap komuniti Maritim tetapi turut menimbulkan reaksi panik dalam kalangan pengguna media sosial.

Ini kerana, tular di media sosial dakwaan bahawa pengunjung dan penduduk Langkawi tidak dibenarkan menikmati hasil laut di perairan itu memandangkan masih terdapat baki mayat mangsa bot karam yang belum ditemukan.