Wartawan Melaka terima ugutan, buat laporan polis

Iklan
Muhammad Rizanizam menunjukkan laporan polis yang dibuat pada Isnin.

MELAKA - Seorang wartawan sebuah portal berita di negeri ini membuat laporan polis selepas mendakwa menerima ugutan jenayah dan serangan peribadi menerusi Facebook berhubung laporan 'guru silat disyaki cabul pelajar 14 tahun' yang ditulisnya pada 5 November lalu.

Mangsa, Muhammad Rizanizam Abdul Hamid, 44, membuat laporan tersebut di Balai Polis Bukit Baru pada Isnin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejadian disedari pada 16 November 2025 sekitar jam 2 petang ketika berada di rumahnya di Taman Semabok Perdana, selepas mendapati beberapa komen di Facebook yang turut mengandungi fitnah, hinaan serta perbuatan menghasut.

“Komen-komen itu mempunyai unsur ancaman, bahasa kesat, doxxing serta cubaan mengajak orang ramai untuk menyerang saya secara berkumpulan.

Iklan

"Beberapa pengguna media sosial turut menuduh saya menulis laporan berita yang tidak benar serta menjatuhkan nama baik perguruan silat, sedangkan laporan adalah berdasarkan maklumat sah daripada pihak polis," katanya pada Isnin.

Tambahnya, serangan peribadi oleh tiga pengguna Facebook turut menyebabkannya serta keluarga dalam ketakutan serta bimbang kemungkinan mengalami serangan fizikal atau siber.

Iklan

"Reputasi profesional saya turut terjejas apabila identiti saya didedahkan kepada umum.

"Laporan polis ini diibuat bagi tujuan rekod keselamatan diri, siasatan PDRM serta rujukan kepada SKMM untuk tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya

Beliau turut memohon agar PDRM menjalankan siasatan secara adil bagi menjamin keselamatan dirinya serta menghentikan segala bentuk ugutan jenayah dan buli siber.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA), Amir Mamat mengecam sekeras-kerasnya sebarang perbuatan berunsur ugutan dan cacian keterlaluan terhadap wartawan berkenaan.

“Tindakan sebegitu bukan sahaja memberi kesan negatif terhadap beliau, malah tidak mustahil boleh merebak kepada pengamal media lain sekiranya dibiarkan.

"Wartawan yang diperakui oleh kerajaan Malaysia melalui Jabatan Penerangan serta Kementerian Dalam Negeri sentiasa menjalankan tugas secara beretika dengan menyampaikan laporan berdasarkan fakta daripada pihak berautoriti," katanya.

Justeru, beliau menggesa PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu terbabit dalam jenayah siber tersebut demi memastikan kesejahteraan dan keselamatan para pengamal media, khususnya di Melaka, terus terpelihara.