GOMBAK - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita nyaris maut selepas kereta dipercayai dihempap runtuhan binaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dalam kejadian di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Batu Caves pada Selasa.
Dalam kejadian itu, mangsa difahamkan berjaya dikeluarkan orang awam beberapa minit sebelum pasukan penyelamat tiba di lokasi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.47 tengah hari.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang digerakkan ke lokasi.
"Jentera pertama tiba pada jam 2.14 petang, komander operasi melaporkan terdapat runtuhan binaan ECRL yang menghempap sebuah kereta Suzuki Swift.
"Mangsa bagaimanapun sudah dikeluarkan orang awam sebelum anggota bomba tiba," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Katanya, operasi disertai tujuh anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
"Tiada mangsa lain dilaporkan terlibat dalam kejadian ini. Siasatan lanjut berhubung punca runtuhan diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan," katanya.