ISKANDAR PUTERI – Tindakan sekumpulan migran yang bersembunyi dalam kawasan semak di pesisir pantai Forest City, Tanjung Kupang tidak berhasil apabila berjaya dikesan Pasukan Polis Marin Wilayah Dua pada Isnin.
Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Superintendan Abdul Latiff Mehat berkata, ketika kejadian anggota Bot Ronda Polis RH 67 dan PC 4 yang sedang melakukan pemantauan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI).
"Pihak polis mengesan kehadiran beberapa individu mencurigakan menyorok di kawasan pantai berkenaan pada jam 12.30 tengah malam," katanya.
Jelas beliau, hasil pemeriksaan membawa kepada tangkapan tujuh warga asing terdiri daripada enam lelaki dan seorang wanita berusia antara 25 hingga 45 tahun.
“Kesemua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan dipercayai memasuki negara ini melalui laluan tidak diwartakan.
"Selain itu, polis turut merampas tujuh telefon bimbit pelbagai jenama bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam satu kenyataan.
Abdul Latiff berkata, Polis Johor komited membanteras kegiatan penyeludupan migran yang disifatkan sebagai ancaman kepada kedaulatan negara.
“Masyarakat digesa menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara,” katanya.