GEORGE TOWN – Exco Kesihatan, Belia dan Sukan, Daniel Gooi Zi Sen mengingatkan pengamal media agar mematuhi garis panduan pelaporan kes bunuh diri berikutan kebimbangan terhadap kesan tular yang boleh mendorong lebih banyak insiden berlaku.
Menurutnya, trend peningkatan kes sering dilihat setiap kali laporan mengenai kejadian bunuh diri disiarkan secara terbuka.
Katanya, laporan yang tidak betul boleh memberi kesan kepada individu lain yang berisiko.
“Jika kita perhatikan, selepas kes pertama dilaporkan akan berlaku pula kes kedua dan kemudian kes ketiga.
"Sebab itu saya meminta rakan-rakan media benar-benar mematuhi garis panduan ketika melaporkan isu seperti ini kerana ia memberi kesan dan boleh mempengaruhi mereka yang mempunyai niat serupa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan pemantauan isu denggi melalui aplikasi Sistem Maklumat dan Aduan Pulau Pinang (ePintas)-Pelan Tindakan Kesihatan Persekitaran Negeri (Sehap) di bangunan Dewan Undangan Negeri, di sini pada Selasa.
Menurutnya, pemasangan penghadang di Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah bukan jalan penyelesaian jangka panjang walaupun beberapa kejadian bunuh diri dilaporkan berlaku di laluan itu sejak kebelakangan ini.
“Kita sepatutnya memberi lebih fokus kepada kesihatan mental dan mempergiat advokasi kesedaran dalam kalangan masyarakat.
"Walaupun penghadang dipasang, ia tidak mampu menghentikan individu yang sudah berhasrat untuk memanjatnya.
“Kita mungkin terpaksa memasang penghadang di semua bangunan tinggi sekiranya isu kesihatan mental tidak ditangani dengan serius,” katanya.
Mengulas lanjut, Daniel berkata, kerajaan negeri meneruskan kempen kesihatan awam dan kesedaran kesihatan mental bagi mengurangkan risiko insiden tragik tersebut.
Menurutnya, pendekatan tersebut lebih efektif berbanding sekadar tindakan fizikal seperti penghadang.