Malaysia gesa masyarakat antarabangsa tamatkan konflik di Gaza

Iklan
Kenyataan Wisma Putra menyokong segala usaha berlandaskan undang-undang antarabangsa dan prinsip yang termaktub dalam Piagam PBB berkaitan Palestin.

PUTRAJAYA - Malaysia menyifatkan kelulusan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin sebagai satu perkembangan positif dalam usaha menamatkan konflik di Gaza.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan resolusi tersebut menyokong Pelan Komprehensif bagi Menamatkan Konflik Gaza yang diumumkan pada 8 Oktober lalu di Sharm El-Sheikh, Mesir.

Iklan
Iklan

"Keputusan Majlis Keselamatan PBB itu akan membuka laluan kepada penubuhan Lembaga Keamanan dan Pasukan Penstabilan Antarabangsa bagi memudahkan proses pembinaan semula, pemulihan ekonomi serta usaha penyahtenteraan di Gaza.

"Keamanan berkekalan di Palestin dan serantau hanya dapat dicapai melalui penyelesaian inklusif dan komprehensif," menurut kenyataan itu pada Selasa.

Iklan

Dalam pada itu, Malaysia turut menggesa Majlis Keselamatan PBB memastikan pelaksanaan segera resolusi tersebut bagi merealisasikan hak rakyat Palestin termasuk hak kenegaraan, kedaulatan dan keutuhan wilayah serta menjamin hak pulang kepada pelarian Palestin.

Tambah kenyataan itu, Malaysia akan terus menyokong segala usaha berlandaskan undang-undang antarabangsa dan prinsip yang termaktub dalam Piagam PBB ke arah merealisasikan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berasaskan persempadanan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Iklan