ISKANDAR PUTERI – Sebanyak 10 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM2.6 bilion dijangka siap awal 2027, meliputi empat daerah utama iaitu Segamat, Muar, Kota Tinggi dan Batu Pahat.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, beberapa cabaran dikesan di lokasi projek termasuk penemuan bom lama dan kawasan perkuburan bangsawan.
Menurutnya, projek RTB Segamat Fasa 3 berdepan isu penemuan bom lama di tebing Sungai Gatom, Labis, sekali gus memerlukan kerja pembersihan dan aspek keselamatan diperketatkan.
“Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang memastikan tapak projek benar-benar selamat.
“Kerja-kerja pembersihan bom dijangka selesai sebelum Jun depan,” katanya pada sidang akhbar selepas persidangan DUN Johor di Kota Iskandar, pada Selasa.
Jelas Mohd Fazli (BN- Bukit Pasir) sebanyak 307 kubur lama di Kampung Panti dan Makam Danau Raja, termasuk kubur dengan batu nisan Aceh yang dipercayai milik tokoh terdahulu dikesan berada di kawasan RTB Kota Tinggi di Sungai Pemandi.
“Pemindahan kubur dilakukan dengan penglibatan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dan Pejabat Kadi telah difatwakan bagi memastikan proses mematuhi garis panduan syarak.
“Kerja pemindahan dijangka selesai sebelum Februari tahun depan,” katanya.
Sementara itu katanya, bagi pelaksanaan RTB di Batu Pahat merangkumi kawasan Pekan Parit Sulong dan Seri Medan, selain menaik taraf Empangan Sembrong.
Menurut Mohamad Fazli, projek empangan mengalami sedikit kelewatan berikutan reka bentuk asal perlu diubah.
“Empangan berkenaan kini menyalurkan air ke Loji Rawatan Air Sembrong. Disebabkan perubahan fungsi, air tidak boleh dilepaskan mengikut tempoh asal.
“Kerja reka bentuk baharu diperlukan dan kelewatan ini bukan disebabkan banjir, tetapi faktor keselamatan serta ketahanan empangan,” katanya.
Selain itu, kerajaan turut meluluskan empat projek tambahan membabitkan Sungai Mengkibol, Sungai Sayong, Sungai Ca’ah dan Sungai Masai bernilai RM300 juta.