Guru, pentadbiran sekolah terkejut Zara Qairina ditemui di aras bawah asrama - Saksi

Iklan
Addorie yang juga saksi ke-45 dalam inkues kematian Zara Qairina dipanggil memberi keterangan di i Mahkamah Koroner Kota Kinabalu pada Isnin.

KOTA KINABALU - Seorang guru asrama yang ditugaskan membantu warden di sekolah agama tempat Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir bersekolah memberitahu bahawa pengetua ada memaklumkan kepada guru-guru mengenai keadaan pelajar itu di hospital selepas ditemui berada di tingkat bawah asrama.

Bagaimanapun, Addorie Francis, 25, yang juga saksi ke-45 dalam inkues kematian Zara Qairina berkata beliau tidak mengingat secara terperinci apa yang diberitahu semasa menghadiri mesyuarat selepas kejadian menimpa Zara Qairina.

Iklan
Iklan

"Ya, saya ingat diberitahu keadaan Zara semasa di hospital," katanya semasa menjawab soalan daripada peguam Shahlan Jufri ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Koroner, Amir Shah Amir Hassan, di Mahkamah Koroner di sini pada Isnin.

Addorie yang juga guru matematik di kelas Zara Qairina turut memberitahu mahkamah bahawa kesemua guru terkejut dengan apa yang menimpa pelajar tersebut.

Iklan

"Masing-masing terkejut," katanya ketika menjawab soalan daripada Shahlan yang memintanya menceritakan situasi guru-guru dan pihak pentadbiran sekolah selepas Zara Qairina ditemui di aras bawah asrama.

Sementara itu, ditanya mengenai tugasnya sebagai guru asrama, Addorie menjelaskan bahawa dia dilantik sebagai guru asrama oleh Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah pada Februari lalu tetapi mula bertugas pada April.

Iklan

"Saya kurang jelas tentang tugas warden, tetapi kalau guru asrama tugasan yang diberitahu kepada saya adalah tiga perkara iaitu memantau kebersihan dorm pada waktu pagi, mengurus pelajar yang sakit dan memantau prep malam," katanya sambil menambah bahawa guru asrama tidak menerima elaun seperti warden asrama.

Sebelum itu, Addorie dalam kenyataannya memaklumkan bahawa dia bukan guru asrama yang bertugas pada 16 Julai lalu namun pada hari sebelumnya dia ada membuat rondaan sewaktu prep malam.

"Pada tarikh tersebut juga saya bertugas di luar sekolah iaitu dari jam 6 pagi hingga 5 petang kerana mengiringi pelajar pertandingan Gami-code di sebuah sekolah menengah di Kota Kinabalu.

"Pada 16 Julai lalu, saya pada mulanya tidak tahu Zara Qairina terjatuh dari bangunan asrama puteri. Saya hanya dihubungi oleh seorang warden yang memaklumkan bahawa ada pelajar jatuh pada pagi hari tersebut.

"Warden tersebut mahu saya menjaga rakan satu dorm dengan mangsa tetapi saya tidak dapat menjalankan tugasan tersebut kerana saya perlu bertugas di luar sekolah dan guru asrama yang bertugas pada hari itu dihubungi untuk menjalankan tugasan tersebut," katanya.

Dalam kenyataannya juga memberitahu bahawa dia tidak pernah mendengar Zara Qairina mengadu tentang masalah persendirian atau konflik dengan sesiapa dan Allahyarhamah juga tidak pernah mengadu kepadanya tentang sebarang gangguan seperti buli, tekanan pelajaran dan keletihan.

"Sepanjang saya bertugas menjadi guru atau guru asrama, tiada isu buli dari segi fizikal atau mental yang saya ketahui," katanya.

Shahlan bersama rakan sepasukannya, Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan Jame hadir sebagai pihak berkepentingan dalam inkues ini bagi mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat.

Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada keesokan harinya.