Sumber sisa pencemaran 'air biru' belum dikenal pasti

Iklan
Kok Lim (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang sempena Majlis Anugerah Inovasi Negeri Perak 2025 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Isnin.

IPOH – Kerajaan Perak masih belum dapat mengenal pasti sumber sebenar limpahan sisa yang menyebabkan air Sungai Perak berhampiran Kampung Sungai Papan, Gerik bertukar warna biru baru-baru ini.

Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Teh Kok Lim berkata, siasatan yang dijalankan masih belum menemukan bukti jelas mengenai sumber pencemaran tersebut.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun menurutnya, tiga syarikat perlombongan yang sebelum ini diarah menghentikan operasi masih belum dibenarkan beroperasi semula sementara menunggu hasil siasatan lengkap.

“Kita sahkan memang ada berlakunya limpahan, namun dari mana sumbernya kita belum tahu lagi.

Iklan

"Belum dapat dikenal pasti sumber yang sebenarnya,” katanya ketika ditemui pemberita.

Beliau berkata demikian selepas mewakili Menteri Besar Perak menyempurnakan Majlis Anugerah Inovasi Negeri Perak 2025 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Isnin.

Iklan

Kok Lim berkata, pasukan teknikal menghadapi kesukaran kerana air yang melimpah itu sudah tidak dapat dikesan sehingga menyebabkan siasatan memerlukan lebih masa.

Beliau turut memaklumkan air sungai terbabit masih selamat digunakan setakat ini berdasarkan pemerhatian semasa.

Sementara itu, mengulas mengenai kes lembu diracun di Tronoh baru-baru ini, Kok Lim berkata, laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesahkan haiwan ternakan itu memakan sisa industri yang dibuang secara tidak bertanggungjawab.

“Itu memang sisa industri dan disyaki datang dari negeri lain.

"JAS masih meneruskan siasatan untuk mengenal pasti pelaku serta mengambil tindakan setegas-tegasnya,” katanya.

Pada 9 November lalu, seorang penternak di Taman Tronoh Baru di sini kerugian kira-kira RM50,000 apabila 17 ekor lembu ternakannya mati dipercayai akibat termakan rumput yang telah tercemar dengan bahan kimia berbahaya.