Transformasi tadbir urus dan kewangan lonjak prestasi PAIP

Iklan
Saiful Zaini (kanan) ketika sesi podcast bersama Sinar Harian yang dihoskan oleh Haizir yang berlangsung di Kompleks Karangkraf.

SHAH ALAM - Transformasi tersusun yang dilaksanakan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) bermula lima tahun lalu berjaya menyelesaikan sebahagian besar isu bekalan air yang membelenggu rakyat di negeri berkenaan.

Ia dibuktikan apabila penyelesaian masalah bekalan air di Pahang ketika ini mencapai tahap 80 peratus, sekali gus melancarkan sasaran kerajaan negeri untuk menyelesaikan 90 peratus isu tersebut menjelang akhir tahun 2026.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Dato’ Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, kejayaan itu terhasil melalui proses transformasi bermula di peringkat tadbir urus, menangani kawasan tekanan air rendah dan paip bocor serta meningkatkan loji atau tangki baharu.

“Alhamdulillah, setakat ini kita telah berjaya selesaikan 70 sehingga 80 peratus isu membabitkan air. Bagi memastikan hasrat ini dicapai paling penting kita kena pastikan tatakelola yang baik, tiada ketirisan.

Iklan

“Asas ini penting kerana urus tadbir baik dan aliran kewangan yang baik menjadi aspek penting untuk PAIP.

“Sasaran untuk selesaikan 90 peratus isu air menjelang 2026 itu bukan slogan semata-mata tetapi penting kepada pengguna apabila mereka buka paip, air ada dan tidak perlahan. Itu tanggungjawab kita," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam program Interviu X Podcast: Janji Dipenuhi Rakyat Dihargai yang dihoskan oleh Haizir Othman dan disiarkan di semua platform Sinar Harian baru-baru ini.

Sokongan kerajaan Pahang, MB dorong tambah baik perkhidmatan

Wan Rosdy akan turun padang bagi memastikan keperluan perkhidmatan bekalan air yang baik untuk rakyat negeri Pahang.

Beliau menambah, kejayaan menambah baik perkhidmatan air di negeri Pahang turut didorong oleh sokongan dan dukungan kuat daripada kerajaan negeri terutama Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, dengan adanya sokongan berterusan termasuk bantuan kewangan diberikan kerajaan negeri secara tidak langsung turut melancarkan lagi usaha untuk memastikan rakyat Pahang mendapat kemudahan terbaik.

Selain itu, Saiful Zaini menambah, kesediaan kerajaan negeri untuk membenarkan tarif air dinaikkan turut membantu PAIP mengatasi cabaran kewangan yang dihadapi sebelum ini.

Menurutnya, hasil daripada kenaikan tarif yang kali terakhir dibuat kira-kira 40 tahun lalu itu memberi lonjakan yang lebih baik kepada syarikat berkenaan untuk memantapkan lagi perkhidmatan.

Saiful Zaini menambah, disebalik usaha berterusan untuk meningkatkan kewangan syarikat, kerajaan negeri melalui PAIP juga tidak mengabaikan nasib golongan memerlukan apabila turut melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Ia dilaksanakan melalui Program Air Percuma Pahang 1st melibatkan pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu (m3 ) pertama setiap bulan kepada golongan sasar yang dikenal pasti.

Menjawab mengenai status kewangan PAIP yang kini jauh lebih baik berbanding ketika kira-kira lima tahun lalu, Saiful Zaini menzahirkan rasa syukur kerana syarikat utiliti itu berjaya menghasilkan keuntungan.

“Sudah dua tahun kita meraih untung, namun kita juga perlu hati-hati. Syarikat utiliti tidak boleh kaut keuntungan yang begitu besar seperti syarikat korporat yang lain. Kita mengalirkan kembali ia dalam bentuk pembangunan masa hadapan dan perkhidmatan yang lebih baik.

“Kami menyasarkan untuk menstabilkan keuntungan, aliran kewangan yang baik supaya kita boleh kekalkan pembiayaan pada masa akan datang,” katanya.

Menurut Saiful Zaini, PAIP juga sedang giat melaksanakan persiapan untuk memenuhi permintaan air yang semakin meningkat bukan sahaja di kampung susulan pertambahan penempatan baharu tetapi kawasan perindustrian yang sedang pesat membangun ketika ini khususnya di Gebeng.

Hari perayaan jadi pengukur prestasi

Wan Rosdy sentiasa prihatin terhadap PAIP dan menititik berat mengenai keperluan perkhidmatan bekalan air yang baik untuk rakyat negeri Pahang.

Dalam pada itu, Saiful Zaini menambah, sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini disifatkan paling aman sejak menerajui PAIP kira-kira lima tahun lalu berikutan isu melibatkan air berjaya ditangani pihaknya.

Beliau berkata, individu yang terlibat dalam syarikat utiliti menyedari bahawa perayaan merupakan tempoh paling kritikal dan menjadi pengukur kepada perkhidmatan mereka.

“Tahun ini merupakan raya paling aman bagi saya dan rakan-rakan warga kerja selama lima tahun di PAIP. Hari raya merupakan ujian sama ada kita boleh urus atau tidak masalah air, ia bukan sahaja di Pahang tetapi mana-mana negeri pun sama kecuali Selangor kerana masing masing balik kampung.

“Kejayaan ini didorong oleh banyak projek kita yang hampir siap dan usaha keras seluruh warga kerja PAIP. Tidak banyak aduan yang diterima dan perkembangan ini menambahkan lagi keyakinan PAIP mampu mencapai sasaran ditetapkan kerajaan negeri menjelang tahun depan" katanya.

Selain itu, beliau secara peribadi juga terbuka dan mengalu-alukan rakyat Pahang menyalurkan sebarang aduan mengenai perkhidmatan air di negeri itu bagi memastikan rakyat mendapat bekalan sebaiknya.