[VIDEO] Upah RM2,000 bawa padah, lelaki ditahan bersama 16.2kg bunga ganja

Iklan

ALOR SETAR – Seorang pemandu lori yang menerima upah RM2,000 ditahan polis bersama 16.2 kilogram (kg) daun kering disyaki bunga ganja dengan nilai keseluruhan mencecah RM583,500 di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam pada Jumaat.

Ketua Polis Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, suspek berusia 30 tahun itu ditahan kira-kira jam 5.30 petang selepas kenderaan Proton S70 berwarna putih yang dipandunya dari Thailand ke Malaysia dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemeriksaan ke atas but kenderaan menemukan sebuah beg bagasi hitam yang mengandungi 20 bungkus daun kering disyaki ganja, masing-masing dibungkus menggunakan plastik hitam dan lut sinar.

“Suspek mengaku diarahkan membawa masuk kereta sewa itu ke Thailand sebelum mengambil sebuah beg yang ditinggalkan dua lelaki Thailand berhampiran pintu masuk negara tersebut.

Iklan

“Dia mendakwa tidak mengenali kedua-dua lelaki tersebut dan hanya mengikut arahan seorang rakannya yang menjadi orang tengah dalam urusan penyeludupan itu.

"Suspek dijanjikan upah RM2,000 selepas berjaya membawa masuk bungkusan berkenaan ke Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di sini pada Isnin.

Iklan

Jelasnya, siasatan awal mendapati suspek masuk ke Thailand pada 9 November lalu menggunakan pengangkutan awam Thailand untuk tujuan berhibur sebelum menginap beberapa hari di sebuah hotel di Sadao.

Polis turut mengesan bahawa kenderaan yang digunakan suspek dipercayai disewa di Johor melalui sebuah syarikat kereta sewa.

Pemilik asal dan syarikat berkenaan telah dikenal pasti dan siasatan terhadap kedua-duanya sedang dijalankan.

“Semakan turut mendapati suspek mempunyai 12 rekod jenayah lampau namun tiada rekod berkaitan narkotik. Ujian air kencing juga didapati negatif,” ujarnya.

Mohd Radzi berkata, suspek kini direman selama enam hari sehingga 20 November bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.

Katanya, rampasan bunga ganja iitu dianggarkan mampu digunakan oleh lebih 30,000 penagih.

Beliau berkata, polis kini meneliti rekod keluar masuk sempadan, sewaan kenderaan serta rangkaian komunikasi suspek bagi mengesan rakan suspek yang dipercayai menjadi perancang utama penyeludupan berkenaan.