SHAH ALAM – Tuduhan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook bahawa tindakan Datuk Ewon Benedick meletakkan jawatan daripada Kabinet Persekutuan sebagai langkah 'bermain wayang' dianggap pelik serta tidak berasas.
Presiden Kehormat UPKO, Datuk Wilfred Madius Tangau berkata, semua pihak memahami bahawa Ewon hanya menunaikan janji yang dibuat sebelum ini, iaitu untuk melepaskan jawatan sekiranya Peguam Negara Persekutuan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah.
Jeladnya, kekeliruan timbul apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kerajaan Persekutuan tidak merayu keputusan tersebut, namun pegawai Persekutuan pula memaklumkan bahawa Peguam Negara akan merayu sebahagian daripada keputusan berkenaan.
“Bagaimana boleh dikatakan tidak merayu tetapi merayu sebahagian? Sama ada merayu atau tidak. Tidak boleh kedua-duanya sekali,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Madius berkata, tindakan Ewon itu disambut baik rakyat Sabah dan pengumuman mengenainya dibuat secara rasmi melalui kenyataan media, bukannya di hadapan orang ramai untuk mencari tepukan.
Dalam masa sama, beliau mendakwa maksud 'bermain wayang' lebih tepat ditujukan kepada pemimpin yang memberi ucapan separuh benar sambil menunjukkan kepetahan berpidato, merujuk kepada gaya Anwar ketika mengumumkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini.
Madius juga mempersoalkan kenyataan Anwar yang menyebut kerajaan Persekutuan telah memulakan rundingan dengan Sabah berhubung tuntutan 40 peratus itu, sedangkan Perdana Menteri sebelum ini menegaskan bahawa perkara-perkara yang telah dijamin bukan untuk dirunding tetapi mesti dilaksanakan.
Beliau mengingatkan bahawa prosedur pembayaran kepada Sabah dan Sarawak telah jelas sejak pembentukan Malaysia pada 1963, termasuk dalam Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan dan Jadual Kesepuluh yang menetapkan hak Sabah menerima 40 peratus hasil bersih Persekutuan daripada negeri itu.
“Oleh itu, tidak ada alasan untuk melengahkan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu kecuali jika ada individu tertentu dari Semenanjung yang sengaja bermain wayang atas sebab-sebab yang hanya mereka sendiri tahu,” tambahnya.