Tiga akta dipinda bagi laksana sistem kutipan tol MLFF

Iklan
Ahmad ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat pada Isnin. FOTO: JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR - Tiga akta di bawah Kementerian Kerja Raya akan dipinda tahun hadapan bagi membolehkan sistem kutipan tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) dilaksanakan oleh syarikat konsesi.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, tiga akta itu ialah Akta Pengangkutan Jalan (Akta 333), Akta Jalan-Jalan Persekutuan (Pengurusan Persendirian) (Akta 306) serta Akta Lebuhraya Malaysia (Akta 231).

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara pindaan yang dibuat termasuklah membabitkan kesalahan tidak membayar tol selepas MLFF dilaksanakan kelak.

"Bila palang tol sudah tiada, akhirnya nanti ada isu membabitkan pengguna yang tidak membayar tol dan sebagainya.

Iklan

"Selain itu pindaan itu juga meliputi penguatkuasaan dan di bawah jabatan mana. Kita fikirkan berkemungkinan penguatkuasaan akan diletakkan di bawah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM)," katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ir Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) mengenai perkembangan terkini pelaksanaan MLFF di lebuh raya.

Iklan

Sementara itu, Ahmad menjelaskan, pelaksanaan MLFF juga bukan lagi di bawah kerajaan sebaliknya di bawah syarikat konsesi terpilih.

Kata beliau, Jemaah Menteri yang bersidang pada 25 Julai lalu telah memutuskan pelaksanaan sistem kutipan tol MLFF dilaksanakan secara kaedah 'Business to Business' (B2B) yang bermaksud semua proses perolehan dan perlantikan penyedia perkhidmatan bagi melaksanakan sistem berkenaan adalah di bawah tanggung jawab syarikat konsesi lebuh raya seperti mana operasi sedia ada.

"Oleh itu, isu kos RM3 bilion sudah tidak wujud kerana itu adalah kos sekiranya dilaksanakan oleh kerajaan. Bagaimanapun MLFF ini akan dilaksanakan oleh syarikat konsesi dan kerajaan tidak akan terbabit.

"Dari segi kos, syarikat konsesi ini sudah tentulah akan memilih sistem yang kompetitif namun bagi kerajaan, kita tidak mahu pengguna dikenakan caj tambahan serta kepentingan pengguna akan sentiasa diambil berat," ujarnya.