Elak terpesona budaya asing, pelihara identiti Muslim

Iklan
MAJLIS Fatwa Kebangsaan dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melalui Irsyad Fatwa siri ke-91 menegaskan bahawa menyambut Halloween adalah haram. Foto Canva

Umat Islam diingatkan agar tidak terikut-ikut dengan budaya luar yang boleh hakis jati diri dan akidah

AKHIR Oktober lalu, ada yang berkongsikan foto dan video bertema seram di media sosial.

Tidak kurang juga yang mengenakan kostum hantu, menghias ruang pejabat dengan labu berukir, malah ada juga yang memilih tema sebegitu untuk program mereka sempena Halloween.

Iklan
Iklan

Di sebalik hiburan itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengingatkan suatu yang jauh lebih penting iaitu tentang akidah dan identiti seorang Muslim menerusi khutbah Jumaatnya baru-baru ini.

Katanya, ia bukan sekadar persoalan kecil tentang pakaian atau hiburan, tetapi soal membezakan yang hak dan yang batil sebagaimana peringatan ALLAH SWT menerusi firman-NYA: “Katakanlah (wahai Muhammad): Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Maka bertakwalah kepada ALLAH wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu berjaya.” (Surah al-Maidah: 100)

Iklan

"Ayat ini secara tegas membezakan antara kebenaran dan kebatilan serta halal dan haram. Para ulama tafsir ketika mentafsirkan ayat ini menegaskan, kebatilan akan kekal batil walaupun menjadi trend ramai umat manusia.

UMAT Islam diingatkan agar tidak leka dan terpesona dengan budaya asing yang tidak memberi manfaat kepada iman. Foto Canva

Iklan

"Hal ini disebabkan kebenaran diukur dengan dalil syarak, bukan mengikut budaya tular. Mereka yang boleh memahami arahan ini disebut sebagai ulul albab (orang berakal) yang mampu membezakan nilai baik dan buruk," kata khatib sebagaimana dipetik menerusi teks khutbah Jumaat bertajuk Membezakan nilai, memilih kebenaran.

Budaya meniru hakis maruah Islam

Dalam teks khutbah itu, JAWI menzahirkan kebimbangan terhadap fenomena tasyabbuh iaitu perbuatan meniru atau menyerupai amalan agama lain yang bercanggah dengan Islam.

Antaranya termasuklah sambutan Halloween yang berasal daripada kepercayaan pagan dan Kristian. Pada hari itu, mereka memakai pakaian berupa hantu dan syaitan serta mengukir labu.

"Ini kerana ia mengandungi unsur tasyabbuh, simbol-simbol ghaib, hantu dan kostum menyeramkan serta perbuatan yang bercanggah dengan akhlak Islam. Malah, ia dikira syiar agama lain yang tidak boleh diikuti oleh umat Islam," tegas khatib.

Hal itu jelas sebagaimana hadis diriwayatkan daripada Ibn Umar RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: "Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Walaupun perbuatan meniru-niru hari kebesaran bukan Islam kelihatan remeh bagi segelintir orang, namun tanpa sedar, perbuatan itu mengikis sedikit demi sedikit identiti kita sebagai Muslim.

"Akhirnya, tidaklah kita berbangga dengan syiar Islam dan generasi akan datang mengutamakan identiti serta budaya asing melebihi agama sendiri.

UMAT Islam diperintahkan untuk menjaga identiti sebagai Muslim, memilih hiburan halal dan menjauhi sebarang unsur yang bercanggah dengan akidah serta syariat. Foto Canva

"Sedangkan, kita diperintahkan untuk menjaga identiti sebagai Muslim, memilih hiburan halal dan menjauhi sebarang unsur yang bercanggah dengan akidah serta syariat," jelasnya.

Didikan akidah benteng utama

Bagi mengekang budaya tasyabbuh menjadi lebih parah, JAWI mengingatkan, jalan penyelesaian terbaik adalah dengan memperkukuh pendidikan akidah sejak awal usia.

"Mereka juga perlu mendidik generasi muda agar memahami bahawa identiti Muslim adalah lebih mulia,” jelas khatib.

Selain keluarga, masyarakat turut diseru untuk menganjurkan program bermanfaat, memberi penerangan tentang hukum syarak dan menegur dengan hikmah jika tersilap langkah.

IBU bapa wajib memelihara tauhid anak-anak dengan tidak membiarkan mereka terjebak dalam perayaan yang bercanggah dengan akidah dan memahamkan mereka bahawa identiti Muslim adalah lebih mulia. Foto Canva

Teguran yang penuh hikmah, kata khatib, mampu memulihkan jiwa dan menanam rasa cinta terhadap agama.

JAWI juga mengingatkan Muslim agar tidak lupa bahawa Islam sudah menyediakan perayaan yang jauh lebih mulia dan penuh keberkatan iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

"Nabi Muhammad SAW menegaskan bahawa perayaan Islam lebih baik daripada perayaan lain yang membawa kepada pahala dan keredaan ALLAH.

Sebelum mengakhiri khutbah, JAWI mengingatkan bahawa menjaga akidah merupakan asas kepada keselamatan dunia dan akhirat.

"Janganlah leka dan terpesona dengan budaya asing yang tidak memberi manfaat kepada iman. Sebaliknya, penuhilah hidup dengan amal soleh, ilmu dan berbangga dengan syiar Islam sedia ada," pesan khatib.

*Khutbah Jumaat disediakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan diterbitkan melalui laman web rasmi jabatan berkenaan.