KUALA LUMPUR – Tindakan saman yang difailkan terhadap penulis blog, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo sebelum ini bukanlah disebabkan individu bernama Razarudin sebaliknya bertujuan mempertahankan maruah institusi Ketua Polis Negara (KPN).
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kedudukan KPN sebagai peneraju tertinggi pasukan tidak wajar dijadikan sasaran fitnah yang boleh menjejaskan keyakinan terhadap institusi keselamatan negara.
"Saya saman bukan sebab duit. Ini kerana kedudukan Ketua Polis Negara tidak wajar difitnah.
"Ketua Polis Negara IGP adalah institusi yang mengetuai seluruh anggota,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan kepada Persatuan Autisme PDRM di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL) di sini pada Isnin.
Sementara itu, Razarudin berkata, bantuan itu penting bagi menyokong kelangsungan operasi pusat berkenaan.
"Pusat Autisme PDRM ini menempatkan kanak-kanak autistik dalam kalangan warga PDRM serta melibatkan lebih 60 tenaga pengajar bagi sesi pagi dan petang.
"Pusat ini bukan organisasi berasaskan keuntungan, difahamkan setiap bulan memerlukan kos yang besar untuk menampung operasinya," katanya.
Menurutnya, daripada jumlah keseluruhan RM55,000 itu, RM25,000 sebelum ini disumbangkan kepada Tabung Amanah Warisan Polis, manakala RM30,000 lagi disalurkan khusus untuk program autisme.
Media sebelum ini melaporkan Mahkamah Tinggi pada 27 Ogos menjatuhi hukuman penjara 30 hari terhadap blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo selepas didapati melanggar perintah injunksi berhubung saman fitnah yang difailkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong ketika membacakan keputusan itu mendapati Wan Muhammad Azri bersalah menghina mahkamah kerana melanggar perintah berkenaan sebanyak dua kali.
Bagi pelanggaran pertama awal tahun ini, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 hari, manakala bagi pelanggaran kedua pada Mei lalu, beliau turut dikenakan 15 hari penjara.
Gan memerintahkan hukuman itu berjalan secara berasingan, menjadikan tempoh keseluruhan 30 hari.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.
Mahkamah turut memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar kos RM30,000 kepada Razarudin dalam tempoh tiga hingga empat hari.
Injunksi itu sebelum ini dikeluarkan bagi menghalang Wan Muhammad Azri daripada mengeluarkan atau mengulang sebarang kenyataan berbaur fitnah terhadap Razarudin di media sosial.
Bagaimanapun, mahkamah mendapati permohonan maaf yang dimuat naik di media sosial pada 30 April lepas tidak memadai.
Video permohonan maaf itu dianggap tidak jelas kerana dimainkan dengan kelajuan tinggi selain disertakan muzik latar daripada filem klasik P Ramlee iaitu"Pendekar Bujang Lapok".