Kos sara hidup: Antara tanggungjawab kerajaan, kebijaksanaan rakyat

Iklan
Kerajaan perlu memperkukuh sistem pemantauan harga secara lebih pantas dan telus, selain memastikan bantuan kewangan seperti e-wallet atau bantuan tunai langsung disalurkan tepat pada waktunya kepada kumpulan sasar. Gambar hiasan

ISU kos sara hidup kini bukan sekadar bualan santai, tetapi realiti yang menghimpit hampir setiap keluarga di Malaysia.

Daripada harga barang keperluan harian hingga kadar sewa rumah yang meningkat, tekanan ini dirasai oleh masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Iklan
Iklan

Walaupun ekonomi negara menunjukkan pertumbuhan yang positif dan kadar inflasi kekal rendah, jurang antara angka makroekonomi dengan realiti hidup rakyat masih jelas kelihatan.

Ini menandakan perlunya pendekatan yang lebih menyeluruh yang melibatkan kerajaan, sektor swasta dan rakyat sendiri bagi mencari keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial.

Iklan

Kerajaan telah mengusahakan pelbagai inisistif dalam menangani isu ini. Antara yang ketara ialah program jualan harga murah, bantuan tunai, subsidi bersasar dan kawalan harga barangan asas.

Langkah-langkah ini sedikit sebanyak membantu rakyat menghadapi tekanan ekonomi, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Iklan

Namun, keberkesanan langkah tersebut masih perlu diperhalusi. Masih ramai rakyat yang merasakan bantuan tidak sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan, atau hanya bersifat sementara.

Dalam konteks ini, kecekapan pelaksanaan dasar perlu diperkukuh dengan sistem pemantauan yang lebih menyeluruh, agar setiap bantuan sampai kepada sasaran dengan cepat dan tepat.

Antara cabaran utama ialah pelaksanaan dasar yang tidak konsisten dan ketidaksamaan akses kepada bantuan di antara kawasan bandar dan luar bandar.

Keluarga di bandar besar seperti Kuala Lumpur, misalnya menanggung kos sara hidup yang jauh lebih tinggi berbanding mereka di luar bandar.

Dalam situasi ini, kerajaan perlu memperkukuh sistem pemantauan harga secara lebih pantas dan telus, selain memastikan bantuan kewangan seperti e-wallet atau bantuan tunai langsung disalurkan tepat pada waktunya kepada kumpulan sasar.

Pendekatan digital yang lebih efisien juga boleh mengurangkan ketirisan serta mempercepat proses penyaluran bantuan.

Selain langkah jangka pendek, kerajaan juga perlu memperkukuh dasar jangka panjang yang mampu memberikan kesan berterusan kepada kestabilan ekonomi rakyat.

Ini termasuk memperkukuh sektor pertanian dan pengeluaran makanan tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada import.

Apabila pengeluaran dalam negeri meningkat, harga barangan asas dapat distabilkan dan negara tidak terlalu terdedah kepada turun naik harga pasaran global.

Pelaburan dalam teknologi pertanian moden dan insentif kepada petani muda wajar diperluas supaya sektor ini kembali menarik serta berdaya saing.

Namun, dalam menanggung cabaran ini, rakyat tidak boleh bersikap pasif. Kos sara hidup adalah tanggungjawab bersama.

Rakyat perlu memainkan peranan proaktif dalam mengurus kewangan isi rumah masing-masing.

Literasi kewangan harus menjadi budaya baharu dalam masyarakat kita. Setiap individu perlu tahu membezakan antara keperluan dan kehendak, bijak merancang perbelanjaan bulanan serta menggunakan teknologi untuk membandingkan harga sebelum membuat pembelian.

Sikap berbelanja secara berhemah dapat membantu rakyat mengurus tekanan ekonomi dengan lebih baik, sekaligus mengurangkan pergantungan terhadap bantuan kerajaan.

Pendidikan kewangan juga perlu diterapkan sejak di peringkat sekolah lagi. Kanak-kanak perlu dididik tentang nilai wang, cara mengurus perbelanjaan dan kepentingan menabung.

Dengan cara ini, generasi akan datang lebih bersedia menghadapi cabaran ekonomi yang semakin kompleks.

Budaya berhutang untuk memenuhi kehendak tidak penting pula perlu dielakkan. Disiplin kewangan yang kukuh akan membantu rakyat mengurangkan pergantungan kepada bantuan kerajaan dan membina daya tahan kewangan sendiri.

Kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti juga memainkan peranan penting dalam mengawal kos sara hidup.

Koperasi pengguna, pasar komuniti dan inisiatif belian pukal boleh menjadi strategi berkesan untuk menurunkan harga barangan asas.

Pihak swasta pula boleh memainkan peranan melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti penajaan program jualan murah, subsidi kepada usahawan kecil atau sumbangan kepada program kemasyarakatan.

Dalam masa yang sama, masyarakat tempatan boleh menghidupkan semula semangat gotong-royong ekonomi melalui perkongsian sumber, seperti kebun komuniti dan koperasi setempat.

Selain daripada aspek ekonomi, pendekatan sosial juga penting. Masyarakat perlu memupuk semula nilai kesederhanaan dan saling membantu.

Jika setiap lapisan masyarakat saling prihatin — contohnya melalui inisiatif derma makanan, bank makanan atau perkongsian barangan keperluan — tekanan kos sara hidup dapat diringankan sedikit demi sedikit.

Nilai kemanusiaan inilah yang menjadikan ekonomi bukan sekadar angka, tetapi cerminan kesejahteraan bersama.

Akhirnya, isu kos sara hidup bukanlah sesuatu yang boleh diselesaikan dalam masa singkat. Ia menuntut kesungguhan berterusan, kecekapan pelaksanaan dasar, dan perubahan sikap dalam kalangan rakyat.

Kerajaan perlu menumpukan kepada pelaksanaan yang telus dan berkesan, memastikan setiap dasar benar-benar menyentuh kehidupan rakyat biasa.

Pada masa yang sama, rakyat juga perlu berubah daripada hanya menjadi penerima bantuan kepada penggerak penyelesaian melalui amalan kewangan berhemah dan sokongan terhadap produk tempatan.

Jika kerajaan dan rakyat bergerak seiring — kerajaan dengan dasar yang adil dan mampan, rakyat pula dengan sikap bertanggungjawab dan bijak — maka tekanan kos sara hidup dapat dikurangkan dengan lebih berkesan.

Dalam dunia yang penuh ketidaktentuan ekonomi, sinergi antara kedua-dua pihak inilah yang menjadi kunci kepada kestabilan, keadilan dan kesejahteraan negara.

Hanya dengan kerjasama erat dan keikhlasan bersama, Malaysia mampu melangkah ke hadapan sebagai negara yang bukan sahaja makmur, tetapi juga sejahtera dan inklusif untuk semua.

* Profesor Dr Mohd Abdullah Jusoh ialah Pensyarah Jabatan Pengurusan Logistik dan Pentadbiran Perniagaan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia