Projek NCPR lalui semua proses penilaian diwajibkan - Exco

Iklan
Zairil

GEORGE TOWN - Projek Jalan Berkembar Pantai Utara (NCPR) telah melalui semua proses penilaian diwajibkan termasuk Penilaian Impak Sosial (SIA) dan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) sebelum diluluskan pihak berkuasa.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, kerajaan negeri mengambil maklum bantahan sebahagian penduduk Batu Ferringhi terhadap projek berkenaan namun menegaskan bahawa pembinaan infrastruktur tersebut penting bagi menangani masalah kesesakan yang semakin meruncing.

Iklan
Iklan

Menurutnya, walaupun terdapat kegusaran penduduk yang bimbang tentang gangguan semasa pembinaan, kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah berinteraksi dengan penduduk terjejas bagi meminimumkan sebarang ketidakselesaan.

“Kerajaan negeri bertanggungjawab merancang infrastruktur demi kebaikan rakyat secara keseluruhan termasuk kelangsungan ekonomi dan akses kepada perkhidmatan penting.

Iklan

"Batu Ferringgi adalah destinasi pelancongan utama yang bergantung besar kepada industri pelancongan dan perhotelan,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini pada Isnin.

Beliau berkata, penduduk kini berhadapan kadar kesesakan teruk kerana hanya satu jalan dua lorong menghubungkan Tanjung Bungah ke Teluk Bahang sekali gus menimbulkan risiko tinggi apabila berlaku kemalangan, tanah runtuh atau pokok tumbang.

Iklan

Menurutnya, situasi itu jelas dirasai apabila satu lorong terpaksa ditutup akibat hakisan serius dan hanya dijangka siap dibaiki pada Februari 2026.

Mengulas dakwaan kurangnya libat urus awam, Zairil menegaskan bahawa kerajaan negeri telah menjalankan SIA dan EIA pada 2016 dengan sesi libat urus melibatkan penduduk Batu Ferringhi, Tanjung Bungah, Teluk Bahang, NGO serta pemain industri pelancongan.

“Hasil kajian menunjukkan lebih dua pertiga responden menyokong pelaksanaan NCPR,” jelasnya.

Bagaimanapun, Zairil menambah, susulan keputusan kerajaan negeri untuk menyemak semula sebahagian jajaran projek itu, satu permohonan EIA baharu akan dikemukakan untuk seksyen pesisir yang telah ditambah baik selepas reka bentuk terperinci dimuktamadkan.

"Rekabentuk akhir bagi projek ini dijangka siap hujung tahun ini atau awal tahun depan sebelum proses permohonan EIA baharu dimulakan. Kita pun mahu percepatkan. Setelah rekabentuk dimuktamadkan, barulah sesi libat urus termasuk town hall dapat dijalankan.

“NCPR merupakan komponen penting dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang kerana menyediakan akses alternatif ke Batu Ferringgi dan Teluk Bahang serta menyelesaikan masalah kesesakan yang telah berlarutan sejak sekian lama,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 20 penduduk berhimpun secara aman di hadapan bangunan DUN Pulau Pinang untuk menggesa kerajaan negeri mengadakan sesi libat urus bersama penduduk sebelum pembinaan Projek NCPR dimulakan.

Mereka telah menyerahkan salinan surat desakan itu kepada Ketua Pembangkang, Muhammad Fauzi Yusoff untuk disampaikan kepada kerajaan negeri.