PETALING JAYA – Dua lelaki masing-masing pegawai teknologi maklumat (IT) dan pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin, atas satu pertuduhan membunuh seorang jurujual wanita yang ditemui mati dalam keadaan tidak berpakaian dan tangan terikat di tepi jalan, bulan lalu.
K Kaarthiek, 26, yang memakai kemeja berwarna putih dan A Hariprasanth, 23, berbaju T lengan panjang warna sama, menundukkan kepala dan berkata"faham" ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Shahril Anuar Ahmad Mustapha.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama membunuh dengan menyebabkan kematian Saraswathy Chan Chee Keong, 24, di Jalan Orkid berhampiran bulatan Blue Water Estate, Seri Kembangan antara jam 6.18 petang, 24 Oktober hingga 2.17 pagi keesokannya.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau dipenjarakan antara 30 hingga 40 tahun, jika sabit kesalahan.
Sekiranya tidak dikenakan hukuman gantung, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Leong Hui sementara peguam, Sivahnanthan Ragava hadir mewakili Kaarthiek.
Seorang lagi tertuduh, Hariprasanth diwakili peguam, Kailash Sharma dan Datin Raj Preet Kaur.
Mahkamah menetapkan 16 Januari 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes bagi laporan kimia dan bedah siasat.
Pada 24 Oktober, pihak polis menerima laporan berhubung penemuan mayat mangsa yang juga bekerja di sebuah pasar raya di Ampang dan kedai serbaneka di Bukit Bintang.
Mangsa berketinggian kira-kira 144 sentimeter, berambut perang melepasi bahu, berkuku panjang selain memakai subang perak di kedua-dua telinga.
Susulan kejadian itu, lima individu termasuk bekas teman lelaki mangsa, abang angkatnya serta rakan serumah wanita terbabit ditahan bagi membantu siasatan.