ACF lancar laporan rasmi mengenai penuaan dan NCD Asia

Iklan
Laporan Rasmi Persidangan Antarabangsa Mengenai Penuaan dan Kawalan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) di Malaysia oleh Asia Cancer Forum (ACF) bantu pelbagai pihak tangani isu berkaitan kesihatan dan penuaan manusia.

KUALA LUMPUR - Asia Cancer Forum (ACF) mengumumkan penerbitan laporan rasmi bertajuk “Aging: Perspectives from the Land of the Rising Sun”, iaitu sebuah persidangan rasmi sempena NCD Malaysia Conference 2025.

Persidangan ini dianjurkan bersama oleh ACF dan National Cancer Society Malaysia (NCSM) dengan sokongan DeNA Co. Ltd. yang berlangsung pada 13 September 2025 di Taylor’s University, Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

Bertemakan “From Challenge to Opportunity: Creating a Flourishing Aging Asia”, acara ini menekankan usaha untuk menjadikan cabaran penuaan populasi dan penyakit tidak berjangkit (NCD) kepada manusia sebagai peluang baharu untuk kerjasama serantau, khususnya antara Jepun dengan Malaysia.

Dua ucaptama disampaikan oleh Presiden NCSM, Datuk Dr. Saunthari Somasundaram dan Dr. Norie Kawahara (Wakil Pengarah ACF).

Iklan

Mereka mengetengahkan cabaran dan masa depan pengurusan NCD dalam proses penuaan manusia-masyarakat dan berkongsi inisiatif Jepun ke arah pembentukan Aging Asia yang lebih dinamik.

Menurut Dr. Saunthari, Aging Asia merujuk kepada fenomena penuaan penduduk di rantau Asia, di mana jumlah warga emas semakin meningkat berbanding golongan muda.

Iklan

Istilah ini penting dalam memahami realiti demografi semasa yang turut memberi kesan kepada aspek polisi sosial, ekonomi dan kesihatan.

“Hari ini, Asia sedang memasuki fasa masyarakat menua, kadar kelahiran yang menurun, jangka hayat yang semakin panjang dan perubahan struktur umur yang ketara.

“Negara-negara seperti Jepun, Korea Selatan, China, Singapura dan  Malaysia sedang menuju status negara tua, berdepan cabaran dan tanggungjawab baharu dalam memastikan kesejahteraan populasi berusia.

Implikasinya sangat besar, ia menuntut perhatian dalam sistem penjagaan kesihatan, persaraan, perlindungan sosial dan penyediaan tenaga kerja masa depan,” katanya.

Justeru , Dr. Saunthari. Mahu pelbagai forum dan sidang antarabangsa menggunakan konsep ‘Aging Asia’ untuk membincangkan strategi terbaik dalam menavigasi perubahan demografi yang kian pesat ini.

“Kerjasama ini sebagai inisiatif model perintis contoh kerjasama antara Malaysia dengan Jepun yang luar biasa dalam menangani cabaran penuaan dan NCD.

“Usaha pencegahan berasaskan komuniti amat penting untuk mencapai usia tua yang sihat bagi setiap manusia,” ujar beliau.

Bagi Dr. Norie pula, beliau lebih menekankan kepentingan kerjasama merentas pelbagai sektor.

“Dalam menghadapi cabaran masyarakat yang menua (aging) di Asia, kita perlu menghimpunkan kebijaksanaan merentas sempadan.

“Dengan menggabungkan kekuatan iaitu kemahiran, pengalaman, sains dan teknologi Jepun dan Malaysia, kita boleh mengubah cabaran penuaan manusia menjadi peluang baharu untuk kemakmuran Asia,” jelasnya.

Angelique Lewis daripada pihak Astellas Pharma membentangkan tajuk pembentangan iaitu Peranan dan Tanggungjawab Rakan Korporat Dalam Meningkatkan Akses Kesihatan, Wawasan Daripada Para Pelaksana.

Persidangan ini menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan dari Jepun dan Malaysia termasuk wakil kerajaan, industri, akademik dan khalayak awam bagi berkongsi pandangan tentang penyelesaian bagi isu penuaan populasi dan peningkatan NCD.

Malaysia-Jepun bersama tangani isu penuaan dan NCD

Tema utama persidangan ini mencerminkan aspirasi bersama antara Malaysia dengan Jepun untuk mengubah cabaran penuaan dan beban NCD kepada peluang baharu.

Kedua-dua negara percaya bahawa pertukaran ilmu merentas sistem kesihatan dan struktur sosial mampu mewujudkan kerjasama yang benar-benar bersifat co-creation, bukan sekadar bantuan sehala.

Para peserta turut membincangkan potensi untuk memanfaatkan kepakaran kedua-dua negara dalam penjagaan kesihatan, penjagaan warga emas dan sokongan komuniti, demi membina masyarakat sihat dan berdaya tahan dalam era penuaan populasi manusia.

Bagi Duta Besar Jepun ke Malaysia, Noriyuki Shikata dalam ucapan tahniah atas penganjuran persidangan ini kepada sekretariat persidangan ini, beliau menyifatkan pelbagai kerjasama antara Tokyo dengan Kuala Lumpur menjadikan hubungan erat antara kedua negara semakin kukuh.

“Kerjasama Malaysia–Jepun berakar kukuh sejak Dasar Pandang ke Timur 1982. Kini di bawah semangat ‘Look at Each Other’, kita akan memperkukuh lagi kerjasama strategik ini,” ujar Noriyuki.

Kolaborasi rentas sektor

Penganjuran acara ini turut digerakkan oleh siri kuliah siswazah “Cross-boundary Cancer Studies” anjuran Universiti Tokyo yang bermula sejak 2011 dengan sokongan UICC-ARO. Kuliah ini meneroka model kerjasama Malaysia–Jepun dalam kawalan kanser berasaskan komuniti dan pencapaian Universal Health Coverage (UHC).

Melalui platform akademik ini, acara tersebut berjaya menyatukan kepakaran kerajaan, industri, akademik dan khalayak awam bagi memperkukuh kerjasama dua hala.

Pelajar siswazah turut menghasilkan laporan cadangan dasar, di mana cadangan terbaik diberikan anugerah pada acara tersebut, memberi peluang kepada generasi muda tampil di pentas antarabangsa dengan idea-idea inovatif.

Model penjagaan kesihatan pencegahan melalui program BEAUTY

Acara ini turut menampilkan penyelesaian inovatif daripada syarikat Jepun, termasuk program BEAUTY (Bringing Education and Understanding To You) iaitu projek bersama ACF dan NCSM sejak 2022.

Program ini memfokuskan model kesihatan pencegahan digital berasaskan komuniti melalui kedai gunting rambut dan salon kecantikan sebagai pusat pendidikan kesihatan. Matlamatnya ialah meningkatkan literasi kesihatan dan kesedaran terhadap saringan kanser.

Beberapa syarikat Jepun termasuk Astellas Pharma, Yakult Honsha, Sumitomo Corporation dan DeNA turut berkongsi inisiatif masing-masing yang menggabungkan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan strategi perniagaan bagi menyokong pencegahan penyakit dan penuaan yang sihat untuk semua peringkat usia manusia.

Mengangkat generasi muda: Cadangan pelajar dan anugerah

Sebahagian daripada usaha melahirkan pemimpin masa depan, persidangan ini menampilkan cadangan dasar daripada pelajar Universiti Tokyo dan Universiti Gifu.

Cadangan tersebut merangkumi isu akses kesihatan, penjagaan komuniti dan strategi sokongan warga emas. Idea-idea ini dilihat sebagai pemangkin perubahan bagi generasi akan datang.

Dalam pengumuman laporan rasmi ini, Dr. Kawahara berharap dapatan persidangan ini akan membantu pembuat dasar, sektor industri dan organisasi kesihatan di seluruh Asia.

Beliau turut menjelaskan bahawa laporan tersebut akan digunakan sebagai bahan pembelajaran bagi penyelidikan Asia Wellbeing Universiti Tokyo dan siri kuliah akan datang.

ACF komited untuk terus memperkukuh kerjasama pelbagai sektor dalam usaha membina platform dan cadangan dasar bagi menangani cabaran penuaan, kanser dan NCD di Asia.