FeMAC mohon maaf

Iklan
FeMAC meminta maaf atas kekeliruan berhubung dakwaan dana PTPK kritikal yang menjejaskan pelajar B40 TVET.

KUALA LUMPUR - Persekutuan Pusat Bertauliah JPK Malaysia (FeMAC) mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) susulan kekeliruan timbul berhubung dakwaan 'Dana PTPK kritikal, ribuan pelajar B40 TVET terjejas'.

FeMAC menjelaskan, kenyataan FeMAC itu menggambarkan seolah-olah PTPK beberapa kali menghentikan pembiayaan pinjaman pelajar dan elaun sara hidup sejak dua tahun lalu adalah tidak tepat selain berpunca daripada kesilapan teknikal penulisan di pihak mereka.

Iklan
Iklan

Pada masa sama, FeMAC turut menyampaikan penghargaan kepada PTPK, khususnya Ketua Eksekutifnya, Fatullah Ibrahim atas dedikasi, profesionalisme dan komitmen berterusan dalam memastikan pembiayaan serta peluang pembelajaran pelajar TVET di seluruh negara berjalan lancar.

Menurut FeMAC, komitmen teguh PTPK telah membuka ruang kepada ribuan pelajar, khususnya daripada kumpulan B40 untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kemahiran, sekali gus memperoleh pekerjaan yang meningkatkan taraf hidup keluarga serta menyumbang kepada kemakmuran negara.

Iklan

FeMAC turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong atas kepimpinan dan bimbingan strategik dalam menerajui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan PTPK ke arah mewujudkan ekosistem TVET yang progresif, inklusif serta berdaya saing.

Perkembangan itu susulan pertemuan antara FeMAC dan pengurusan tertinggi PTPK pada 12 November lalu, yang membuka ruang kerjasama lebih erat dan konstruktif selaras aspirasi untuk memastikan pembangunan TVET negara kekal mampan serta berimpak tinggi.

Iklan

FeMAC menegaskan, komitmen padu untuk terus bekerjasama dengan Steven Sim, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), PTPK, JPK dan MTVET dalam memperkukuh sistem latihan kemahiran negara agar kekal relevan dengan kehendak industri serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

September lalu, FeMAC yang mewakili lebih 350 pusat latihan kemahiran swasta di seluruh negara melahirkan kebimbangan serius berhubung isu kekangan dana pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) yang semakin meruncing serta memberi kesan besar kepada pelajar khususnya daripada keluarga B40.

Exco FeMAC, Tengku Ahmad Mujahid Tengku Mahmud seperti dilaporkan media berkata, sejak dua tahun kebelakangan ini, PTPK telah beberapa kali menghentikan pembiayaan pinjaman pelajaran dan elaun sara hidup bulanan, menyebabkan ribuan pelajar di seluruh negara terjejas.

Antara kesan yang didakwa dialami termasuklah pelajar baharu tidak menerima pembiayaan seperti dijanjikan, pelajar sedia ada tidak memperoleh elaun sara hidup, selain mereka yang ingin melanjutkan pengajian dari peringkat sijil ke diploma tidak dapat meneruskan pengajian.