KUANTAN - Kejadian lima sekeluarga maut dipercayai dibunuh di sebuah rumah di Taman Cerating Damai, di sini pada pagi Selasa mengejutkan penduduk setempat.
Rata-rata penduduk di situ termasuk jiran terdekat mengakui langsung tidak menyedari kejadian terbabit sehinggalah ternampak kehadiran anggota polis ke rumah mangsa.
Jiran keluarga itu, Saripah Jaya, 60, berkata, dia langsung tidak mendengar sebarang bunyi mencurigakan sama ada suara orang menjerit atau meminta tolong awal pagi itu.
Menurutnya, dia dan suami sudah terjaga kira-kira jam 6 pagi dan ketika itu cuaca hujan agak lebat.
"Saya dan suami langsung tidak mendengar sesuatu yang mencurigakan sehinggalah ternampak salah seorang ahli keluarga terbabit keluar rumah dalam keadaan agak cemas dan cuba memberitahu sesuatu.
"Tanpa mensyaki sesuatu kejadian buruk berlaku, suami keluar untuk membeli sarapan dan saya memberi makan ayam sebelum masuk semula ke dalam rumah," katanya yang tinggal di kejiranan ini sejak lebih 20 tahun lalu.
Saripah berkata, selepas suaminya pulang dari kedai, barulah mereka sedar kejadian itu setelah beberapa anggota polis berada di kawasan rumah mangsa.
"Memang terkejut dan langsung tidak menyangka kejadian itu berlaku kepada keluarga jiran sendiri.
"Jiran yang mesra dipanggil 'Kak Yah' dan anak lelakinya (suspek) nampak biasa sahaja sebelum ini dan langsung tidak menunjukkan seolah-olah mereka berada dalam masalah," katanya.
Saripah menyifatkan mangsa dan ahli keluarganya termasuk suspek begitu baik, peramah dan selalu bertegur sapa.
"Suspek sendiri memanggil saya dan suami sebagai 'Mok dan Aboh' dan setiap kali bersua, pasti dia akan menegur kami.
"Lepas dia pulang dan tinggal bersama keluaga di rumah ini sejak kira-kira sebulan lalu, dia tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap, nampak seperti biasa sahaja," katanya.
Saripah berkata, kali terakhir dia bertemu jirannya itu pada pagi Isnin ketika wanita itu sedang bersenam di luar rumah.