SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) meningkatkan pemantauan terhadap rangkaian pengedaran dadah antarabangsa yang dikenal pasti menggunakan Malaysia sebagai lokasi transit sebelum dihantar ke negara lain.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, tindakan itu selari dengan penegasan Perdana Menteri mengenai kewujudan kartel besar penyeludupan dadah.
"Ia seiring dengan fokus PDRM yang terus membanteras sindiket rentas sempadan, termasuk yang menggunakan laluan laut dan kontena kargo sebagai modus operandi.
"PDRM memandang serius kenyataan Perdana Menteri kerana ia melibatkan ancaman yang lama menjadi perhatian utama dalam memastikan keselamatan negara," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Katanya, antara kes yang pernah mendapat perhatian antarabangsa ialah rampasan 336 kilogram (kg) heroin oleh Australian Border Force (ABF) pada 13 Mac 2023.
"Hasil siasatan mendapati kontena berkenaan dipercayai transit melalui Pelabuhan Klang sebelum dihantar ke Australia.
"Susulan insiden itu, PDRM dan Australian Federal Police (AFP) menjalankan siasatan bersama yang membawa kepada penubuhan Pasukan Petugas Bersama (Joint Taskforce) semasa Persidangan Agung Interpol di Glasgow pada 6 November 2024," katanya.
Mohd Khalid menjelaskan pasukan itu memberi tumpuan kepada kegiatan sindiket dadah transnasional antara Malaysia dan Australia, khususnya yang menggunakan perkhidmatan kontena kargo.
"Melalui kerjasama ini, beberapa operasi besar dilaksanakan termasuk rampasan 33.2 tan syabu bernilai RM1.062 bilion di Pelabuhan Klang pada 25 Januari 2025, dipercayai dari Asia Tengah sebelum transit di Malaysia menuju ke Australia.
"Selain itu, rampasan 45kg syabu bernilai RM1.44 juta dicatat pada 7 November 2025 selepas dadah disembunyikan dalam ruang khas di bahagian atas kontena kargo," katanya.
Beliau menegaskan kejayaan operasi hasil kerjasama strategik itu membuktikan keupayaan PDRM memperkukuh perkongsian risikan antarabangsa.
"PDRM sedang meneliti setiap rangkaian yang dikenal pasti dan memperkukuh tindakan susulan bersama agensi penguat kuasa tempatan dan luar negara bagi memastikan sindiket ini dipatahkan sepenuhnya.
"Tindakan tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dan mengancam keselamatan negara.
Ujarnya, PDRM akan terus memperhebat risikan, operasi dan kerjasama antara agensi demi membanteras ancaman dadah secara berterusan.