SHAH ALAM - Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran mengakui berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu berhubung hasrat untuk keluar daripada Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, Anwar ada memberikan saranan untuk MIC mempertimbangkan semula perkara tersebut memandangkan kedua-duanya sudah lama menjadi rakan gabungan.
“Anwar seorang yang terbuka dan berterus-terang, beliau tanya, saya ceritakanlah apa yang sebenarnya berlaku.
“Bukannya kami nak berunding untuk dapatkan kerusi, kami nyatakan hasrat untuk keluar BN. Jadi beliau meminta MIC untuk fikir betul-betul,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini pada Ahad.
Sebelum ini, Sinar Harian memaklumkan, mesyuarat MIC memutuskan untuk menangguhkan keputusan sama ada parti itu akan keluar atau kekal dalam BN.
Bagaimanapun, Vigneswaran berkata, ketiga-tiga usul termasuk keluar daripada BN telah diterima, diluluskan dan diserahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).
Jelas beliau, perwakilan setiap negeri berhak mengusulkan perkara tersebut, namun keputusannya perlu diteliti CWC terlebih dahulu.
Sekiranya usul keluar daripada BN terjadi, kata Vigneswaran, pihaknya terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti selain Perikatan Nasional (PN), berkemungkinan Pakatan Harapan (PH).