Tamat penyertaaan dalam BN antara tiga usul perwakilan MIC

Iklan
Perwakilan sedang membahaskan resolusi dan ucapan dasar Presiden ketika Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 di IDCC di sini pada Ahad.

SHAH ALAM - Kesediaan untuk menamatkan penyertaan dalam Barisan Nasional (BN) antara tiga usul yang dikemukakan oleh perwakilan MIC dalam Perhimpunan Agung Tahunan ke-79 2025 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini pada Ahad.

Berdasarkan resolusi yang diedarkan kepada ahli akar umbi peringkat bahagian, cawangan dan kepimpinan MIC, mesyuarat perwakilan sebulat suara bersedia untuk berbuat demikian selepas mengambil kira situasi politik semasa negara.

Iklan
Iklan

"Mesyuarat juga mengambil kira penilaian menyeluruh terhadap kedudukan dan kepentingan MIC dalam gabungan BN.

“Kerjasama sedia ada tidak lagi memberikan ruang yang mencukupi untuk MIC memainkan peranan efektif bagi memperjuangkan kepentingan masyarakat India dan menyumbang dalam pembangunan nasional di tanah air ini,” menurut resolusi perwakilan itu.

Iklan

Justeru katanya, MIC bersedia untuk menamatkan penyertaan dalam BN, tertakluk kepada proses dan peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan MIC.

“MIC bersedia untuk memohon secara rasmi menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN) dengan tujuan untuk membina satu platform baharu yang lebih inklusif, berprinsip dan memberi ruang lebih luas kepada suara masyarakat India di Malaysia.

Iklan

“Mesyuarat hari ini memberikan mandat penuh kepada Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) untuk melaksanakan langkah serta urusan rasmi berkaitan perkara ini,” tambahnya. 

Usul kedua dalam resolusi tersebut turut menyentuh tentang sokongan padu dan tidak berbelah bahagi kepada pimpinan parti iaitu Vigneswaran dan Timbalan Presidennya, Datuk Seri M Saravanan.

Usul ketiga pula membincangkan tentang kedudukan dan masa depan MIC dalam lanskap politik di negara ini.

Ia memberikan mandat penuh kepada Presiden untuk membuat keputusan strategik yang terbaik demi masa depan politik parti, termasuk mempertimbangkan sebarang penyusunan semula kerjasama politik atau pakatan baharu selaras prinsip dan perjuangan asas MIC.