'Tidak sepatutnya pertikai MIC teroka jajaran baharu politik'- Vigneswaran

Iklan
Vigneswaran menyampaikan ucapan dasar pada Majlis Mesyuarat Perhimpunan Agung MIC Ke-79 di IDCC pada Ahad. Foto: Bernama

SHAH ALAM - Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran menyelar kritikan yang dilemparkan segelintir pihak terhadap parti itu hanya kerana cuba meneroka jajaran baharu politik di luar Barisan Nasional (BN), terutamanya dengan Pas.

Beliau berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP pernah bekerjasama dengan Pas di bawah Pakatan Rakyat (PR) yang kini bubar, manakala UMNO membentuk Muafakat Nasional (MN) bersama Pas, tetapi kemudiannya turut gagal.

Iklan
Iklan

Justeru katanya, tindakan MIC yang hanya mempertimbangkan untuk berhubung dengan Pas tidak sepatutnya dijadikan isu kerana parti-parti sebelum ini juga berbuat perkara sama.

“Apabila PR ingin bekerjasama dengan Pas, ia dipuji sebagai ‘reformasi’. Apabila UMNO bekerjasama dengan Pas, disebut ‘penyatuan ummah’.

Iklan

“Tetapi, apabila MIC hanya mempertimbangkan untuk berhubung dengan Pas, tiba-tiba menjadi isu.

“Tiba-tiba ia tidak dapat diterima ramai dan MIC diiminta untuk berdiam serta terkurung dalam batas politik yang ditetapkan orang lain. Inilah ‘double standard’ yang mesti kita hadapi,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar di hadapan perwakilan dalam Perhimpunan Agung MIC ke-79 bertempat di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini pada Ahad.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan MIC akan mengadakan perbincangan dan perbahasan tertutup bagi membuat keputusan untuk keluar daripada BN.

Menurut Vigneswaran, MIC tidak lagi dihormati sebagai salah sebuah komponen parti dalam BN, tidak kira sebagai adik-beradik mahupun rakan sekutu.

Beliau turut berpendapat bahawa sekiranya MIC ingin bangkit bermaruah, parti tersebut mesti memperbaharui perjuangan bermula daripada golongan belia.

Terdahulu, bekas Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa MIC memutuskan untuk keluar daripada BN pada November.

Pendedahan itu dimaklumkan menerusi hantaran video di akaun TikTok milik Tajuddin.

Tajuddin mendakwa perkara itu diakui sendiri oleh Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan ketika sambutan perayaan Deepavali di kediamannya, Oktober lepas.

Sebelumnya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa BN tidak pernah memaksa mana-mana parti komponen untuk kekal atau keluar daripada gabungan tersebut.

Menurutnya, keputusan sama ada untuk terus bersama BN atau menyertai gabungan lain merupakan hak setiap parti komponen.