JOHOR BAHRU - Usia emas bukan alasan untuk berhenti menuntut ilmu bagi dua graduan warga emas yang menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada Majlis Konvokesyen Ke-69 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai di sini pada Ahad.
Bagi Mejar (B) Dr Kamarul Azman Jamaluddin, 79, bekas pegawai tentera Pasukan Elit 10 Briged Para itu sudah terbiasa menyambung pengajian sejak bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 1988.
"Selepas bersara, saya membuka syarikat motivasi dan dari situ timbul keinginan untuk menambah ilmu bagi memajukan diri. Tamat ijazah pertama, saya sambung Ijazah Sarjana pada 2013.
"Kemudian saya memulakan pengajian PhD dalam bidang Kaunseling dan Psikologi pada 2015," katanya ketika ditemui selepas sesi kedua konvokesyen di UTM Skudai.
Kamarul Azman mengakui perjalanan pengajiannya bukan mudah, malah pernah berdepan tekanan sehingga hampir putus asa.
"Saya berterima kasih kepada penyelia yang sentiasa memberi inspirasi. Isteri saya, Siti Fatimah Sheikh Hassan, 74, juga menjadi pendorong utama kerana sentiasa bersabar dengan tuntutan pengajian saya.
"Empat anak dan 15 cucu saya pula banyak membantu aspek teknologi ketika saya menyiapkan tugasan," katanya yang pernah berkhidmat sebagai pensyarah sambilan di UTM dari 2009 hingga 2015.
Kamarul Azman ialah antara 732 graduan PhD yang menerima ijazah pada konvokesyen kali ini.
Selain beliau, seorang lagi warga emas, Dr Abdul Hakim Arifin, 67, dari Flores, Nusa Tenggara Timur, Indonesia turut menerima PhD dalam bidang Falsafah Arab.
Guru sementara di Maahad Tahfiz Arabic al-Gontori, Rembau, Negeri Sembilan itu mengambil masa lapan tahun menamatkan pengajian sambil mengajar pendidikan Islam dan Bahasa Arab.
Abdul Hakim berkata, pengorbanan paling besar dalam menyempurnakan pengajiannya adalah hidup berjauhan daripada isteri dan enam anak yang menetap di Pakistan.
"Saya datang ke Malaysia pada 2016 untuk sambung belajar di UTM. Keluarga saya tinggal di Pakistan kerana isteri berasal dari sana. Itulah pengorbanan apabila memilih untuk tidak berhenti belajar.
"Agama mengajar kita menuntut ilmu dari lahir hingga ke liang lahad. Sebab itu saya teruskan walau apa pun cabaran," katanya yang fasih berbahasa Arab, Melayu, Inggeris dan Urdu.
Beliau berkata, segala ilmu diperoleh akan terus dikongsikan kepada masyarakat melalui kelas dan ceramah di Malaysia, Pakistan dan Indonesia.