350 mat rempit masuk perangkap

Iklan
Antara penunggang motosikal yang ditahan dalam operasi berkenaan.

SEBERANG JAYA - Aktiviti lumba haram di sekitar persimpangan lampu isyarat Permatang Pauh menghala Ampang Jajar di sini berjaya dibanteras selepas diserbu sepasukan anggota polis dalam satu operasi yang diadakan pada Sabtu.

Operasi yang dilakukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman bersama JSPT Pulau Pinang bermula jam 11 malam itu menahan kira-kira 350 penunggang motosikal termasuk remaja bawah umur.

Iklan
Iklan

Timbalan Pengarah Penguatkuasaan, Kawalan Lalu Lintas dan Pengurusan Saman JSPT Bukit Aman, Deputi Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, serbuan dijalankan selepas mendapati kawasan berkenaan menjadi tumpuan kumpulan mat rempit untuk berlumba terutamanya pada malam minggu.

Menurutnya, meskipun beberapa kali serbuan dan operasi pernah dibuat sebelum ini di lokasi sama namun mendapati mereka seolah-olah tidak serik dan mencabar undang-undang.

Iklan

Mohd Rozi (dua dari kanan) memeriksa salah sebuah motosikal yang ditahan dalam operasi dijalankan pada malam Sabtu.

"Dalam pemeriksaan yang dilakukan kita dapati ada yang pernah dua atau tiga kali ditangkap sebelum ini tapi masih datang melakukan aktiviti sama.

Iklan

"Jangan mencabar undang-undang dan jangan melihat nyawa seperti tidak bernilai kerana perbuatan mereka ini bukan sahaja merisikokan nyawa sendiri malah membahayakan pengguna jalan raya yang lain," katanya ketika ditemui di Balai Polis Seberang Jaya di sini pada Ahad.

Mohd Rozi berkata, dalam operasi berkenaan lebih 250 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk mereka yang tidak mempunyai lesen selain melakukan modifikasi motosikal yang tiada ciri-ciri keselamatan.

Beliau berkata, semua pihak perlu memainkan peranan dalam memberi kesedaran kepada masyarakat supaya sama-sama memastikan aktiviti ini dapat dihentikan.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai supaya mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya serta tidak menjadikan kawasan itu sebagai litar lumba haram.