SHAH ALAM – [KEMAS KINI] Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran meminta ahli parti itu untuk berbincang dan membuat keputusan sama ada mahu keluar daripada Barisan Nasional (BN) pada Perhimpunan Agung Tahunan parti tersebut.
Jelas beliau, MIC perlu membuat keputusan penting itu kerana tidak lagi dihormati sebagai salah sebuah komponen dalam BN, tidak kira sebagai adik-beradik mahupun rakan sekutu.
Vigneswaran turut berpendapat bahawa sekiranya MIC ingin bangkit bermaruah, parti tersebut mesti memperbaharui perjuangan bermula daripada golongan belia.
“Mengapa yang lain telah meninggalkan BN, tetapi kita masih bersama mereka dan dalam hati kita, bolehkah MIC benar-benar berjaya membawa BN hari ini mencerminkan perikatan yang asal?
“Bukan perikatan pada nama, tetapi perikatan berdasarkan tujuan, kepercayaan dan kerjasama tulen yang membina negara ini.
“Jika ini ketentuan takdir, maka kita bukan melarikan diri daripada sejarah, sebaliknya kembali kepada sejarah. Cerita MIC hari ini bukan penamat, tapi permulaan,” katanya ketika berucap di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini pada Ahad.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, bekas Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa MIC memutuskan untuk keluar daripada BN pada November.
Pendedahan itu dimaklumkan menerusi hantaran video di akaun TikTok milik Tajuddin.
Tajuddin mendakwa perkara itu diakui sendiri oleh Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan ketika sambutan perayaan Deepavali di kediamannya, Oktober lepas.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa BN tidak pernah memaksa mana-mana parti komponen untuk kekal atau keluar daripada gabungan tersebut.
Menurutnya, keputusan sama ada untuk terus bersama BN atau menyertai gabungan lain merupakan hak setiap parti komponen.