UNIVERSAL Music Malaysia mengambil maklum kebimbangan orang ramai berhubung penampilan ahli kumpulan Dolla dalam video muzik terbaharu mereka yang didakwa tidak sesuai dan menimbulkan sensitiviti dalam kalangan penonton.
Sehubungan itu, syarikat berkenaan mengambil keputusan untuk menurunkan video muzik tersebut daripada semua platform digital sebagai langkah tanggungjawab dan usaha menjaga keharmonian dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum serta agama.
Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, keputusan itu dibuat selepas penelitian semula terhadap keseluruhan kandungan produksi serta maklum balas masyarakat.
“Sebagai syarikat rakaman yang beroperasi dalam ekosistem majmuk seperti Malaysia, kami sentiasa menghormati nilai budaya, sensitiviti agama dan pandangan peminat. Kami mengambil serius setiap maklum balas dan bertanggungjawab terhadap sebarang kekhilafan yang berlaku.
“Kami percaya kreativiti serta ekspresi seni perlu seiring dengan kepekaan terhadap norma setempat. Oleh itu, keputusan untuk menurunkan video muzik ini dianggap wajar demi menjaga keharmonian dan rasa hormat semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.
Universal Music Malaysia turut menegaskan komitmen untuk memperketat proses semakan bagi setiap perancangan kreatif selepas ini melalui perbincangan dalaman dan konsultasi profesional bagi mengelakkan isu sama berulang pada masa akan datang.
Syarikat itu turut merakamkan penghargaan kepada peminat dan masyarakat yang memberikan maklum balas secara terbuka dan membina, serta berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik tanpa menjejaskan hubungan antara artis, peminat dan komuniti muzik tempatan secara keseluruhan.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan bahawa beliau sedang meneliti untuk mengenakan tindakan jenayah syariah terhadap selebriti beragama Islam yang berpakaian mencolok mata.
Beliau turut mengarahkan semakan semula garis panduan pemakaian selebriti Muslim bagi memastikan penampilan mereka lebih selaras dengan batas syariah serta sensitiviti masyarakat.