Sabah terima paling banyak sekolah baharu - Anwar

Iklan
Anwar beramah mesra dengan anak muda semasa hadir pada program PM Sayang Sabah DUN Petagas, Putatan pada Sabtu.

PUTATAN - Sabah merupakan negeri yang menerima pembinaan sekolah baharu paling banyak di seluruh negara di bawah perancangan belanjawan dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komitmen itu telah dirancang sejak sebelum Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) lagi bagi memastikan keperluan pendidikan di Sabah terus diperkasa dan tidak lagi ketinggalan berbanding negeri lain.

Iklan
Iklan

Susulan itu, beliau menegaskan bahawa pentingnya hubungan baik antara kerajaan Persekutuan dan negeri bagi memastikan agenda pembangunan berjalan lancar dan tidak terganggu oleh konflik politik tidak perlu.

"Saya bercakap pasal sekolah. Di dalam belanjawan kita, dalam RMK13 paling banyak sekolah baharu dibandingkan dengan semua negeri di Malaysia ialah di negeri Sabah. Sebab keperluan, ini kita buat. Bukan semasa pilihan raya, sudah lama sebelum pilihan raya rancangan ini.

Iklan

"Buat apa kita bermusuh? Saya bukan datang sini untuk harta. Saya dan rakan-rakan mahu pastikan Malaysia ini aman, gagah dan muncul sebagai satu kekuatan ekonomi baharu. Yang lebih penting ialah rakyatnya, yang tiada kerja, yang miskin, yang tiada rumah, yang sekolahnya tidak sempurna. Itu tanggungjawab kita," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam ceramah PM Sayang Sabah Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas di sini pada Sabtu.

Iklan

Anwar ketika hadir ke program PM Sayang Sabah DUN Petagas.

Anwar turut menegaskan bahawa keyakinan negara luar terhadap Malaysia semakin meningkat, termasuk dalam aspek ekonomi susulan pengukuhan ringgit yang kini dilihat berada pada prestasi terbaik di Asia.

Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat untuk menolak politik kebencian dan sentimen perkauman yang dilihat hanya akan memecahbelahkan negara.

"Jangan ikut marah, jangan ikut sentimen kaum… takkan selamat negara kalau masing-masing mempertahankan kaum sendiri. Yang penting kita jaga keamanan, semua kaum bekerja bersama dan menyokong pihak yang ada rekod khidmat yang baik," katanya.

Beliau dalam pada itu turut menyentuh beberapa isu infrastruktur yang dihadapi rakyat Sabah termasuk bekalan air dan jalan raya.

"Jalan lubang-lubang ingat saya bangga? Saya berhenti tengok jalan, esok saya nak ke Tulid. Pegawai kata ambil masa 60 minit tetapi dia kata, PM pakai jalankah? Saya kata boleh tapi banyak lubang-lubang, tahan kah tidak? Pinggang saya tak berapa kuat. Ingat saya bangga? Adakah saya bangga kalau dengar macam tu. Kita perlu cari jalan selesai.

"Jadi saya kena fikir sebab itu kita tambah belanja. Berapa untuk air? RM1 bilion.. Tahun depan, Insya-ALLAH 2026, masalah air Sabah selesai," katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut menyeru pengundi memberikan ruang kepada calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Petagas, Awang Husaini Sahari serta calon-calon lain di kawasan berkaitan supaya kerjasama erat bersama kerajaan negeri dapat diteruskan.