KOTA KINABALU - Calon bebas yang menggelarkan dirinya sebagai sebahagian daripada kumpulan ‘gelombang hitam’ melihat pertembungan dengan kakaknya, calon Parti Warisan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam sebagai satu perjuangan hak meskipun mereka berada di platform politik berbeza.
Shone Majimbun, 45, berkata, hubungan kekeluargaan tidak pernah terhakis, namun perjuangan masing-masing sehingga membawa kepada pertandingan kali ini adalah berkaitan hak yang ingin diperjuangkan.
“Tidak banyak mengenainya (pertembungan). Kami berjuang demi hak tetapi keluarga tetap keluarga,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Maksak Likas di sini pada Sabtu.
Mengulas keputusan bertanding pada PRN17, Shone yang juga anak kepada bekas Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Eric Majimbun, berkata keinginannya timbul selepas menyedari banyak isu politik diperkatakan tetapi kurang diluahkan secara tuntas.
"Kita selalu bercakap tentang politik selama bertahun-tahun. Kawan-kawan terbuka bercakap tentang politik. Tapi kita tidak boleh buat apa-apa tentangnya.
"Jadi, saya menceburkan diri dalam politik untuk mengetengahkan apa yang kita telah katakan selama ini,” katanya.
Shone turut menyatakan harapannya untuk membawa tiga perubahan dalam PRN kali ini.
"Kejujuran, ketelusan dan keikhlasan dalam politik," katanya.
Sementara itu, kakaknya, Edna Jessica turut melihat tiada isu mengenai pertembungan tersebut kerana politik adalah medan demokrasi.
"Bagi saya, politik ialah sebuah proses demokrasi. Setiap orang mempunyai ideologi politik masing-masing. Jadi, bagi saya, ia bukan satu masalah.
"Di rumah, sebenarnya kami tidak pernah berbincang soal politik walaupun dalam kalangan keluarga. Ibu bapa saya juga kekal neutral dalam hal ini,” katanya.
DUN Inanam menyaksikan pertembungan 11 penjuru melibatkan pelbagai parti termasuk dua daripadanya adalah dari calon bebas.