TEMERLOH - Seorang lelaki dipercayai mampu memperoleh pendapatan lumayan sehingga RM1,000 sehari hasil jualan air ketum sebelum kegiatannya terbongkar Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, suspek menjual air ketum pada harga RM10 sebungkus dengan anggaran jualan 100 bungkus sehari.
Menurutnya, suspek berusia 30 tahun itu ditahan dalam serbuan Ops Hawks ke atas sebuah premis di kawasan Kampung Peragap, Kerdau di sini.
"Dalam serbuan kira-kira jam 1 pagi itu, polis menemui dan merampas sejumlah bungkusan air ketum yang siap untuk diedarkan.
"Hasil soal siasat, suspek mengaku bekalan air ketum tersebut diproses sendiri dan untuk diedarkan kepada 'pengguna' di sekitar kawasan itu," katanya melalui kenyataan pada Sabtu.
Mohd Nasyim berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a)Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Sementara itu dalam kes berasingan, katanya, seorang lelaki yang memiliki tujuh rekod jenayah lampau dicekup bersama sejumlah dadah dianggarkan seberat 260.16 gram di kawasan Kampung Rumpun Makmur, Kuala Krau di sini kira-kira jam 2.15 pagi, hari sama.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas lelaki berusia 45 tahun itu, pihaknya menemui dadah jenis heroin dianggarkan seberat 107.16 gram, syabu (116.55 gram) dan pil yaba (36.45 gram) dengan nilai keseluruhan kira-kira RM16,000.
Suspek kini direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama," katanya.