ALOR SETAR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran tampil sebagai peneraju utama dalam menyelesaikan isu pajakan Pulau Pinang yang kembali mencetuskan perbincangan hangat, tanpa perlu dibawa ke mahkamah.
Cadangan itu dikemukakan oleh Dewan Perniagaan Bumiputera Siam Malaysia (DPBSM) yang menyifatkan isu berkenaan sebagai perkara besar yang menyentuh kedaulatan negeri dan sejarah negara.
Presidennya, Datuk Seri Boon Som Inong berkata, kedudukan Anwar sebagai ketua kerajaan dan anak kelahiran Pulau Pinang memberikan kelebihan moral, selain kepercayaan rakyat kedua-dua negeri untuk memimpin jalan penyelesaian yang adil serta terhormat.
“Kami percaya Perdana Menteri mampu menjadi tokoh tengah yang dihormati dalam merungkai isu ini secara matang dan berperlembagaan, tanpa perlu ia berlarutan sehingga ke mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, DPBSM turut menzahirkan sokongan terhadap titah Tuanku Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada 18 Jun 2023 yang menegaskan bahawa sejarah dan kedaulatan negeri Kedah tidak boleh dipadamkan.
“Peristiwa pajakan Pulau Pinang pada tahun 1786 adalah sebahagian daripada rekod sejarah negeri yang panjang.
"Bagi rakyat Kedah, ia kekal sebagai isu yang belum tuntas dan perlu ditangani dengan penuh hikmah,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan semua pihak agar mengelakkan retorik politik yang boleh mengelirukan rakyat atau memburukkan hubungan antara dua negeri berdaulat.
“Keutamaan kita adalah penyelesaian yang teratur, berhemah dan menghormati perlembagaan.
"DPBSM komited untuk terus menyokong usaha ke arah keharmonian negeri, kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya lagi.
Isu pajakan Pulau Pinang kepada British oleh Kedah kembali menjadi perhatian selepas beberapa kenyataan dan tuntutan berkaitan perkara itu dibangkitkan oleh pelbagai pihak termasuk pemimpin negeri.