SUNGAI BULOH – Seorang lelaki warga emas cedera parah manakala dua individu lagi mengalami cedera ringan dalam kemalangan membabitkan tiga kereta berhampiran susur Saujana Utama di sini pada Sabtu.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kes itu pada jam 8.20 pagi.
"Seramai enam anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh bergegas ke lokasi kejadian yang jaraknya sejauh 10 kilometer," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Ahmad Mukhlis berkata, jentera pertama tiba di lokasi pada jam 8 30 pagi mendapati kemalangan melibatkan sebuah Perodua Axia, Perodua Bezza dan sebuah Volkswagen.
"Kita mendapati pemandu kereta Perodua Axia iaitu lelaki berusia 61 tahun tersepit di bahagian pemandu dan mengalami kecederaan parah.
"Dua lagi mangsa terdiri daripada seorang lelaki dan wanita berusia lingkungan 30-an mengalami kecederaan ringan," katanya.
Ahmad Mukhlis berkata, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba sebelum diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan lanjut.