Motosikal terbabas, penunggang maut tercampak dalam longkang

Iklan
Anggota bomba mengangkat mangsa yang tercampak di dalam longkang.

BUTTERWORTH - Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya terbabas sebelum tercampak ke dalam longkang sedalam dua meter dalam kejadian di Jalan Siram di sini pada pagi Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.06 pagi itu, mangsa dikenali sebagai R Kishore Kumar, 36, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

"Setibanya di lokasi pada jam 4.15 pagi, pasukan mendapati terdapat satu motosikal jenis Honda RS150 dipercayai terbabas ke bahu jalan.

Iklan

"Mangsa lelaki ditemui tercampak ke dalam longkang sedalam dua meter," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Kerja-kerja menyelamat yang dijalankan oleh pasukan operasi.

Iklan

John Sagun berkata, kerja-kerja menyelamat dijalankan oleh pasukan operasi lengkap dengan peralatan perlindungan diri (PPE) sebelum mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 4.44 pagi.

Katanya, pemeriksaan lanjut mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.55 pagi," katanya lagi.