PELAKON tanah air, Fezrul Khan bakal mencuri tumpuan apabila membuat kemunculan sulung di pentas Grand Final Muay Thai Challenge yang akan berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur malam' ini.
Pelakon berusia 42 tahun itu dijadualkan berdepan Amir Hakim atau dikenali sebagai Sifu Amir yang bakal menjadi pertarungan mencabar buatnya.
Fezrul yang akan menggunakan nama Ratu Fezrul berkata, pembabitannya dalam sukan tempur itu sesuatu yang baharu buatnya dan bertujuan menarik lebih ramai anak muda menyertai seni bela diri.
“Sebab sekarang ini saya banyak tengok pembuli dekat sekolah. Jadi saya terpanggil untuk masuk 'combat sport' supaya saya boleh tarik anak-anak muda untuk sertai dan belajar seni bela diri.
“Supaya mereka tahu macam mana nak pertahankan diri jika dibuli. Bukan belajar seni beli diri ini untuk buli orang. Itu salah.
"Kita belajar untuk pertahankan diri,” katanya kepada Sukan Sinar selepas sesi timbang berat pada Jumaat.
Fezrul turut mendedahkan bahawa penyertaannya kali ini adalah penampilan profesional pertamanya.
“Sepatutnya dah ada beberapa pertarungan sebelum ini, tapi banyak opponent tarik diri. Jadi ini kali pertama saya beraksi di pentas pro,” jelasnya.
Walaupun sibuk dengan penggambaran filem terbaharu, Fezrul berkata persiapannya tetap berjalan lancar.
“Saya bersedia sambil saya 'shoot' juga. Saya tengah 'shoot' filem sekarang. Tetapi saya dah bersedia untuk hadapi lawan saya. Semua coach dah susun perancangan dengan baik,” ujarnya.