Khabar gembira buat rakyat Kelantan, mendulang emas kini dibenarkan

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Selasa.

KELANTAN sekali lagi mencuri tumpuan apabila kerajaan negeri membenarkan rakyatnya untuk mengusahakan perlombongan emas secara sah melalui kaedah mendulang di atas tanah kerajaan dengan syarat-syarat tertentu bagi tujuan keselamatan, kawalan alam sekitar dan rekod rasmi perlombongan.

Langkah itu segera mencetuskan fenomena baharu apabila ramai tampil menunjukkan minat untuk mencuba nasib, sekali gus menjadikan aktiviti mendulang kembali hidup dalam masyarakat.

Iklan
Iklan

Suasana semakin meriah apabila jualan dulang emas meningkat berkali ganda, selain ada yang secara berseloroh mengaku 'ore Kelate' selepas pengumuman tersebut.

Situasi itu diakui penjual dulang emas, Mohamad Hafizudin Mohamad Khairi, 27, dari Batu Melintang bahawa permintaan bagi alat yang dijual pada harga antara RM300 hingga RM400 itu meningkat berkali ganda hanya dalam tempoh dua hingga tiga hari selepas pengumuman dibuat.

Iklan

Membenarkan rakyat Kelantan mendulang emas bukan sahaja membuka pintu rezeki baharu, tetapi mengangkat kembali identiti negeri sebagai kawasan kaya sumber mineral. - Foto hiasan

Menurutnya, sebelum ini beliau hanya menjual dua atau tiga unit sebulan, namun sejak gelombang tular mendulang emas bermula, sebanyak 15 dulang terjual dalam masa singkat dan mesej pertanyaan pelanggan diterima tanpa henti.

Iklan

Dari sudut ekonomi, langkah terbabit membuka ruang rezeki tambahan kepada penduduk setempat.

Aktiviti mendulang bukan lagi hobi atau warisan tradisi, tetapi boleh dijadikan sumber pendapatan jika dilakukan dengan betul dan berlesen.

Keunikan Kelantan sebagai negeri yang kaya budaya, tradisi dan nilai kekeluargaan menjadikan aktiviti mendulang emas mempunyai maksud tersendiri.

Bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa potensi besar berkenaan turut membawa risiko yang perlu diambil serius kerana mendulang emas secara berlebihan atau tanpa kawal selia boleh menimbulkan bahaya.

Justeru, peringatan Pensyarah Kanan Fakulti Sains Bumi Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Mohd Syakir Sulaiman bahawa aktiviti mendulang emas secara berlebihan tanpa kawalan termasuk penggalian tanah di tebing sungai, boleh menyebabkan hakisan dan kejadian tanah runtuh terutama ketika musim hujan perlu dijadikan panduan.

Walaupun dasar negeri membenarkan rakyat Kelantan mendulang emas dilihat positif, ia perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab.

Agensi berkaitan wajar memastikan tiada pencerobohan ke kawasan hutan simpan, tanah rizab atau tapak syarikat pelombongan berlesen yang boleh mencetuskan pertikaian serta isu keselamatan.

Kerajaan negeri juga disaran mewujudkan sistem pendaftaran digital untuk pemegang lesen, lokasi aktiviti serta rekod pemantauan bagi mengelakkan penyalahgunaan dan memastikan ketelusan.

Langkah itu dapat menangani kemungkinan pihak tertentu mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan secara haram atau memanipulasi pendulang kecil.

Pada masa sama, latihan dan taklimat berkala mengenai kaedah mendulang selamat perlu diberikan kepada pemegang lesen termasuk pendidikan tentang pemeliharaan sungai, larangan menerima tawaran membeli emas tanpa resit serta kaedah mengenal pasti kawasan tidak stabil bagi mengelakkan tragedi.

Selain memberi faedah ekonomi, dasar itu sebenarnya berpotensi mewujudkan ekosistem baharu seperti perniagaan alat dulang, perkhidmatan pemandu lokasi, pelancongan mendulang dan pameran hasil tempatan.

Jika dirangka dengan baik, ia boleh menjadi tarikan budaya unik Kelantan sebagaimana wau, dikir barat dan makanan tradisi negeri itu.

Secara keseluruhan, langkah membenarkan rakyat Kelantan mendulang emas adalah inisiatif berpotensi besar jika dilaksanakan dengan tertib.

Ia bukan sahaja membuka pintu rezeki baharu, tetapi mengangkat kembali identiti negeri sebagai kawasan kaya sumber mineral.

Dengan kawal selia ketat, pendidikan keselamatan dan sikap tidak mengambil kesempatan, inisiatif ini mampu memberi manfaat terus kepada rakyat tanpa menjejaskan alam sekitar dan kesejahteraan komuniti setempat.