Ketegasan PM beri ruang SPRM perangi kartel, sindiket

Iklan
Azam Baki.

SHAH ALAM - Ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memerangi kartel sindiket penyeludupan memberi ruang jelas kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk bertindak tanpa kompromi.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, beliau menzahirkan penghargaan kepada Anwar di atas pengiktirafan terhadap usaha keras agensi penguat kuasa memerangi kartel dan sindiket penyeludupan yang telah berakar umbi berpuluh tahun sehingga kerugian negara mencecah berbilion ringgit.

Iklan
Iklan

Katanya, pengiktirafan Perdana Menteri terhadap kejayaan menumpaskan kartel sebesar ‘kontena’ ini merupakan dorongan besar kepada seluruh warga SPRM untuk terus berusaha memerangi rasuah.

"Tindakan yang diambil bukan kerja sehari dua, tetapi hasil siasatan yang mendalam, operasi bersepadu dan kerjasama erat antara SPRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi penguat kuasa lain.

Iklan

"Bagi SPRM, kejayaan menyelamatkan berbilion dalam tempoh dua tahun ialah bukti siasatan yang efektif berdasarkan pendekatan intelligence-based investigation (IBI) dan penggunaan teknologi analitik dan kewangan yang terkini," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kartel ini bukan berskala kecil sebaliknya bergerak dengan rangkaian, modal besar dan perlindungan tertentu selama bertahun-tahun.

Iklan

Tetapi, kata Azam, dengan kesungguhan pasukan serta mandat yang jelas daripada kerajaan, SPRM dan agensi penguat kuasa lain berjaya menumpaskan jaringan gelap tersebut.

"SPRM kekal komited memastikan semua bentuk rasuah, termasuk yang melibatkan penyeludupan, cukai, hasil negara, ketirisan dan pengubahan wang haram ditangani secara tegas tanpa mengira kedudukan, jawatan atau pengaruh mana-mana pihak," ujarnya.

Anwar pada Khamis menegaskan, tekad kerajaan Madani dalam memerangi kartel dan penyeludupan habis-habisan ialah langkah luar biasa untuk menyelamatkan bangsa dan negara ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan isu kartel dan penyeludupan bukanlah isu baharu, sebaliknya sudah berlaku sejak puluhan tahun, namun tidak dibendung kerana tiada upaya serta tekad politik.