Nik Nazmi persoal tempoh perkhidmatan Maimunah ditamatkan lebih awal

Iklan
Nik Nazmi

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mempersoalkan penamatan awal tempoh perkhidmatan Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Beliau berkata, perkhidmatan Maimunah ditamatkan lebih awal daripada perancangan asal iaitu sehingga Ogos 2026.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, Nik Nazmi yakin Maimunah akan terus memberikan khidmat yang terbaik bagi peranan baharunya di Petronas.

"Tempoh perkhidmatan Datuk Bandar tidak wajar dipendekkan tanpa alasan kukuh.

Iklan

"Kerajaan Persekutuan mestilah memberi penjelasan mengapa gangguan di dalam pentadbiran Kuala Lumpur begitu mendesak," katanya dalam hantaran Facebook pada Jumaat.

Beliau mengingatkan isu terbabit menunjukkan keperluan untuk melakukan reformasi terhadap bagaimana Kuala Lumpur ditadbir.

Iklan

"Buat masa ini, warga kota tiada suara di dalam pentadbiran ibu kota, dengan kuasa tertumpu di tangan seorang Datuk Bandar, yang lazimnya dilantik dari kalangan penjawat awam," ujarnya lagi.

Nik Nazmi memberitahu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang terdiri dari wakil rakyat kerajaan dan pembangkang pada Ogos 2025 lepas telah mencadangkan pelantikan Ahli Majlis bagi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sama seperti kerajaan-kerajaan tempatan di negeri-negeri lain.

"Pada waktu itu, beberapa Ahli Parlimen Kuala Lumpur dan saya sendiri mendesak agar pilihan raya kerajaan tempatan dikembalikan.

"Saya masih berpendirian yang sama seperti sebelum ini, bahawa inilah langkah terbaik untuk memastikan akauntabiliti dan prestasi yang lebih baik dalam tadbir urus ibu kota yang telah mencapai status maju," jelasnya lagi.

Tambah beliau, manifesto Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum 2022 turut menekankan pengukuhan penyertaan rakyat dan pendemokrasian bagi DBKL.

Menurutnya, alasan bahawa pilihan raya kerajaan tempatan boleh mencetuskan ketegangan kaum hanyalah isu yang tidak berasas.

Beliau berpandangan, ramai tidak sedar masyarakat Bumiputera mewakili kelompok terbesar di ibu kota iaitu hampir separuh daripada jumlah penduduk Kuala Lumpur.

"Justeru tiada lagi alasan munasabah untuk terus menangguhkan perkara ini," tegas Nik Nazmi.