SHAH ALAM – Seorang Ketua Pegawai Operasi sebuah syarikat pembinaan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas dua pertuduhan salah guna harta syarikat berjumlah RM110,497.95.
Tan Ching Peng, 62, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Iklan
Iklan
Berdasarkan kenyataan media, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tidak jujur dengan menyalahgunakan wang syarikat itu.
Dia dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa, Mohd Hanafi Firdhaus Abd Latif sementara tertuduh diwakili peguam, Azrul Zulkifli Stork.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya sekali setiap sebulan sekali.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 20 Januari 2026.