Langkawi bukan bahan eksperimen, modal politik - ADUN Kuah

Iklan
Teresa dan Rayer dijemput turun sendiri ke Langkawi untuk melihat, mendengar suara rakyat dan memahami realiti sebenar sebelum mengeluarkan kenyataan. Gambar kecil: Amar Pared

ALOR SETAR - Cadangan supaya Langkawi diletakkan bawah pentadbiran kerajaan Persekutuan disifatkan sebagai satu kenyataan biadab politik, tidak menghormati sejarah dan menyentuh kedaulatan negeri dan Tuanku Sultan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Amar Pared Mahamud berkata, Langkawi bukan bahan eksperimen atau modal politik sesiapa.

Iklan
Iklan

Beliau menyifatkan kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sebagai sesuatu yang tidak berasas.

"Begitu juga kenyataan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer yang mengatakan bahawa orang sudah tidak mahu ke Langkawi.

Iklan

"Kenyataan seperti ini tidak berfakta, dangkal dan memperlekehkan usaha penggiat industri pelancongan serta rakyat Langkawi yang saban hari bekerja keras demi membangunkan pulau ini," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Dakwanya, lebih mengecewakan apabila pendapatan dan hasil yang diperoleh dari pulau tersebut disalurkan kepada kerajaan Persekutuan.

Iklan

"Sudahlah hasil cukai dan pendapatan Langkawi majoritinya diserap kerajaan Persekutuan, kini ada pula usaha memperlekehkan dan mempolitikkan kedudukan pulau berdaulat ini. Ini bukan sahaja tidak adil, malah satu penghinaan terhadap rakyat Kedah.

"Bagi mengelakkan lebih banyak kenyataan tidak bertanggungjawab, saya menjemput Teresa Kok dan RSN Rayer turun sendiri ke Langkawi, datang lihat dengan mata, dengar suara rakyat dan fahami realiti sebenar sebelum mengeluarkan kenyataan sesuka hati," katanya.

Sebelum ini, Teresa mengkritik Kerajaan Kedah pimpinan Pas yang didakwanya gagal membangunkan Langkawi selain menyindir hasrat kerajaan negeri mahu mengambil alih Pulau Pinang.

Beliau berpendapat, Langkawi mempunyai kekuatan tersendiri dalam sektor pelancongan dan lebih sesuai dimajukan di bawah pentadbiran kerajaan Persekutuan.

Teresa mencadangkan supaya Pulau Langkawi ditadbir sebagai Wilayah Persekutuan atau Zon Antarabangsa bagi merancakkan pembangunan pelancongan secara lebih sistematik.

Dalam masa sama, tular satu klip video pendek sedutan daripada perbahasan di Parlimen, di mana Rayer mendakwa penduduk Langkawi kini sedang merana kerana tidak ada pengunjung sementara kerajaan negeri pula tidak berbuat apa-apa.