TANJUNG MALIM - Polis sedang mengesan seorang suspek disyaki terbabit dalam beberapa kejadian pecah kedai di sekitar kawasan Tanjung Malim, Rabu lalu.
Beberapa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial memaparkan kelibat suspek disyaki seorang lelaki berpakaian wanita bertindak memecah masuk ke kedai menyebabkan kerugian barangan dan wang tunai.
Dalam kejadian antara jam 4.15 pagi hingga 6.20 pagi tersebut, suspek bertindak sendirian melakukan perbuatan itu sambil memakai baju kurung, seluar panjang berwarna kelabu dan topi keledar biru.
Berdasarkan rakaman, suspek dilihat memasuki premis secara paksa melalui pintu hadapan dengan menolak, menarik dan merentap bahagian pintu sebelum melarikan barang berharga dalam tempoh singkat.
Mengikut maklumat yang dikongsi di media sosial, suspek memecah masuk sebuah kedai telekomunikasi di Taman Bunga Raya pada jam 4.42 pagi sebelum melarikan 10 telefon lama dan sejumlah wang tunai melibatkan kerugian RM4,200.
Dalam satu kejadian lain, suspek juga memecah masuk sebuah kedai minuman di Taman Anggerik Desa pada jam 5 pagi dan melarikan wang tunai sekitar RM500.
Tidak lama selepas itu, suspek memecah masuk sebuah restoran makanan laut di Taman Wangsa pada jam 5.23 pagi dan mencuri sebuah telefon bimbit serta beberapa syiling dengan jumlah kerugian kira-kira RM500.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan bahawa sebanyak tujuh premis terlibat.
Bagaimanapun katanya, hanya tiga premis yang mengalami kerugian barang dicuri.
"Suspek telah dikenal pasti dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan,” katanya ringkas.