Ibu Ivana Smit beri notis 48 jam tuntut kerajaan bayar ganti rugi RM1.1 juta

Iklan
Ibu mendiang Ivana Smit mengemukakan LOD kepada kerajaan supaya membayar RM1.1 juta dalam masa 48 jam.

KUALA LUMPUR – Ibu kepada model warga Belanda, mendiang Ivana Esther Robert Smit yang mayatnya ditemukan di balkoni tingkat enam sebuah kondominium lapan tahun lalu, mengemukakan notis tuntutan (LOD) kepada kerajaan supaya membayar RM1.1 juta dalam masa 48 jam.

Menerusi notis yang dialamatkan kepada Peguam Negara pada Jumaat, peguam, Datuk Sankara Nair berkata, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar perlu memastikan jumlah penghakiman tersebut dibayar dan didepositkan ke dalam akaun anak guam menerusi firma guaman.

Iklan
Iklan

Sankara merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis yang menolak permohonan Ketua Polis Negara, pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Faizal Abdullah, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia selaku defendan pertama hingga keempat untuk menangguhkan pembayaran berkenaan.

“Sekiranya defendan gagal melaksanakan pembayaran dalam tempoh ditetapkan, kami telah diarahkan untuk mengambil langkah undang-undang yang perlu.

Iklan

“Ia termasuk prosiding penghinaan mahkamah bagi memastikan pematuhan penuh terhadap perintah pembayaran itu,” katanya.

Beliau berkata, anak guam, Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen pada mulanya menahan diri daripada menuntut pelaksanaan segera demi memberi ruang budi bicara yang munasabah kepada kerajaan.

Iklan

Bagaimanapun katanya, mahkamah menegaskan bahawa perintah bertarikh 29 Julai hendaklah dipatuhi tanpa sebarang kompromi.

Beliau berkata, sehingga surat itu dikeluarkan, pihaknya belum menerima sebarang pengesahan, maklum balas atau bukti pembayaran daripada kerajaan berhubung jumlah ganti rugi tersebut.

Menurutnya, kegagalan itu boleh dianggap ketidakpatuhan nyata dan boleh membawa kepada tindakan prosiding penghinaan mahkamah memandangkan arahan mahkamah sangat jelas, spesifik dan bersifat serta-merta.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan kerajaan untuk menangguhkan pembayaran ganti rugi itu kepada Christina selaku plaintif.

Hakim, Roz Mawar Rozain juga memerintahkan kerajaan mendepositkan faedah terkumpul ke akaun amanah selewat-lewatnya pada Khamis dan kerajaan perlu membayar kos sebanyak RM8,000 kepada plaintif.

Pada 29 Julai lalu, Roz Mawar mengarahkan kerajaan dan tiga pihak lain membayar jumlah itu kepada Christina selepas membenarkan saman dikemukakannya apabila mendapati wujud kecuaian oleh polis ketika mengendalikan siasatan kematian anak perempuannya pada tahun 2017.

Mahkamah memerintahkan defendan membayar RM500,000 sebagai ganti rugi am, RM300,000 sebagai ganti rugi teruk dan RM300,000 sebagai ganti rugi teladan kepada Christina.

Defendan pertama hingga keempat turut diperintahkan membayar kos sebanyak RM100,000 kepada keluarga mangsa.

Pada 20 November 2020, Christina sebagai plaintif memfailkan saman dan mendakwa mereka melanggar kewajipan statutori dan cuai dalam siasatan bagi menentukan punca kematian anak perempuannya.

Dalam penyataan tuntutan, Christina berkata, anak perempuannya yang berusia 18 tahun itu ditemukan maut di tingkat enam selepas jatuh dari tingkat 20 unit kondominium milik pasangan Amerika iaitu Alex Johnson dan Luna Almazkyzy pada 7 Disember 2017.

Beliau mendakwa polis melakukan kecuaian apabila gagal menutup lokasi kejadian, menyita barangan peribadi mangsa, mengumpul bukti serta gagal menjalankan siasatan sewajarnya terhadap Johnson dan Almazkyzy serta gagal menahan, mengekstradisi dan menjamin kehadiran kedua-duanya semasa inkues sebagai saksi utama.