Aerotrain KLIA: MAHB sedia kerjasama dengan SPRM

Iklan
Mohd Izani - Foto: Bernama

SEPANG - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) belum menerima sebarang permintaan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat projek Aerotrain bernilai RM456 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk memberikan kerjasama sekiranya diperlukan.

Iklan
Iklan

"Saya belum menerima sebarang permintaan daripada SPRM, tetapi sebagai sebuah agensi berkaitan dengan kerajaan, kami bersedia untuk bekerjasama dengan SPRM,” katanya pada sesi taklimat media di sini hari ini.

Ia susulan kenyataan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang sebelum ini menyatakan bahawa SPRM bebas menyiasat perkara berkenaan berikutan rungutan berterusan terhadap masalah kebolehpercayaannya.

Iklan

Awal minggu ini, Loke berkata, SPRM bebas menyiasat projek Aerotrain di Terminal 1 KLIA yang dibiayai sepenuhnya oleh MAHB dan tidak melibatkan dana kerajaan, berdasarkan bukti dan peruntukan undang-undang sedia ada.

Ditanya sama ada MAHB dipaksa mempercepatkan tarikh operasi Aerotrain daripada Disember kepada Julai, Mohd Izani berkata pihak pengendali projek berjaya menyiapkannya mengikut jadual ditetapkan.

Iklan

Beliau turut menafikan dakwaan perkhidmatan Aerotrain dipaksa beroperasi lebih awal kerana Sidang Kemuncak ASEAN.

"Kita berjaya menyiapkannya dan hari ini, kita mengadakan taklimat Pelan Tindakan Komprehensif (CAP) bagi memastikan semua isu ditangani, supaya memasuki tahun baharu dengan tahap kebolehpercayaan penuh terhadap tren ini,"katanya.

Terdahulu, Mohd Izani berkata MAHB telah memulakan CAP dalam tempoh Liabiliti Kecacatan (DLP) bagi meningkatkan kebolehpercayaan sistem Aerotrain di KLIA.

CAP akan dilaksanakan bermula esok, di bawah proses tahap satu melibatkan pemeriksaan menyeluruh, ujian dan jika perlu pembetulan terhadap keseluruhan sistem serta subsistem kritikalnya.

Pemeriksaan menyeluruh akan dilaksanakan pada jam 9 malam hingga 7 pagi setiap hari dan perkhidmatan bas akan disediakan sepanjang tempoh itu bagi memastikan pemindahan penumpang berjalan lancar.

Pelan tindakan aerotran akan diaktifkan esok

Dalam pada itu, MAHB akan mengaktifkan CAP bermula esok bagi meningkatkan kebolehpercayaan dan daya tahan sistem Aerotrain KLIA.

Mohd Izani berkata, langkah ini akan memanfaatkan tempoh liabiliti cacat (DLP) yang masih berbaki untuk menangani kelemahan sistem ini melalui pendekatan berstruktur dan pelbagai peringkat.

Menurutnya menerusi persetujuan Kementerian Pengangkutan dan pengiktirafan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), pelan itu akan dimulakan dengan pemeriksaan harian dan kerja-kerja pembaikan yang dijadualkan bermula jam 9 malam hingga 7 pagi untuk meminimumkan gangguan penumpang.

Beliau berkata, pelan itu adalah langkah penentu pada masa hadapan dalam mengembalikan keyakinan orang ramai melalui pendekatan berstruktur, kerjasama pengawalseliaan dan komunikasi terbuka.

"Fokus kami adalah untuk memastikan Aerotrain memberikan tahap kebolehpercayaan dan keselamatan yang dijangkakan di pintu masuk antarabangsa seperti KLIA.

"Pelan ini membolehkan kami menangani punca gangguan terdahulu secara sistematik di samping menekankan semula komitmen kami terhadap keselamatan penumpang dan kecemerlangan perkhidmatan," katanya.

Mohd Izani berkata, sepanjang tempoh berkenaan, perkhidmatan bas sepenuhnya akan digunakan untuk memastikan kesalinghubungan antara terminal utama dan bangunan satelit tidak terjejas.

"Bagi meningkatkan keselesaan penumpang, lebih banyak penerbangan berlepas dan tiba akan dilaksanakan di bangunan terminal utama bagi mengurangkan keperluan untuk penumpang berpindah," katanya.

Dibangunkan dengan kerjasama kontraktor dan perunding yang dilantik, CAP merangkumi tiga peringkat berstruktur untuk menangani kelemahan sistem secara sistematik dan boleh disahkan, katanya.

Mohd Izani berkata, fokus pada peringkat pertama adalah untuk mengenal pasti kekurangan sistem, menyelesaikan isu punca utama, melaksanakan naik taraf teknikal dan perisian yang dirancang serta menjalankan pemeriksaan terperinci terhadap keseluruhan sistem kereta api.

Fasa kedua menumpukan kepada pengesahan yang melibatkan ujian operasi simulasi dan penambahbaikan bersasar seperti mengemas kini perisian, penentukuran semula komponen serta ujian tekanan masa nyata bagi memperkuat kemantapan sistem, katanya.

"Fasa terakhir akan melibatkan operasi percubaan yang dipantau untuk mengesahkan tahap kesiapsiagaan sistem dan kestabilan operasi sebelum perkhidmatan sepenuhnya disambung semula," katanya.

Katanya penilaian bebas akan dijalankan untuk melaksanakan audit teknikal dan operasi secara komprehensif untuk memberikan jaminan selanjutnya.

APAD akan melaksanakan pemeriksaan keselamatan secara formal selepas pelan berkenaan disiapkan.

Mengenai kemungkinan untuk melanjutkan CAP selepas 15 Disember, Mohd Izani berkata perkara itu akan diputuskan selepas fasa pertama dan kedua selesai.

"Kami masih belum dapat memastikan tempoh yang diperlukan untuk operasi percubaan. Kami akan memaklumkan kepada pihak media dari semasa ke semasa sekiranya kami perlu melanjutkan tempoh itu," katanya.

Sejak operasi disambung semula pada 1 Julai, sistem Aerotrain KLIA telah memberikan manfaat kepada kira-kira tujuh juta penumpang dan melengkapkan lebih 53,000 perjalanan ulang-alik, dengan mencatatkan tahap ketersediaan perkhidmatan operasi sebanyak 98.41 peratus. - Bernama