Kes tohmahan URB: Polis berhubung pihak berkuasa Indonesia, Interpol

Iklan
Shazeli - Foto Sinar Harian/Mohd Halim Abdul Wahid

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Indonesia bagi membantu siasatan berhubung video tular tohmahan oleh seorang pemain kelab bola sepak dari negara terbabit.

Tuduhan tersebut terhadap anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang didakwa meminta wang ketika menjalankan tugas pemeriksaan di Subang Jaya baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kertas siasatan dibuka dan dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, keterangan telah diambil daripada pengadu (anggota URB) dan rakan setugasnya, namun keterangan daripada pihak yang mendakwa sebagai pemain bola sepak itu tidak dapat dijalankan kerana mereka telah kembali ke negara asal.

Iklan

"Namun PDRM sedang berhubung rapat dengan rakan strategik negara tersebut untuk membantu polis lengkapkan siasatan.

"Mungkin kita akan gunakan wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kedutaan negara tersebut untuk ambil keterangan di sana," katanya dalam sidang akhbar pelupusan dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Jumaat.

Iklan

Beliau bagaimanapun tidak mengesahkan dengan terperinci berhubung keterangan itu.

Namun kata Shazeli, ia memerlukan sedikit masa dan pihaknya masih berhubung dengan Polis Antarabangsa (Interpol) serta rakan strategik negara untuk membantu dalam melengkapkan siasatan.

Sebelum itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat dilaporkan berkata, anggota berkenaan membuat laporan polis pada 7 November lalu

Polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang pemain bola sepak terbabit yang dikatakan menuduh anggota polis itu meminta wang ketika pemeriksaan dijalankan ke atasnya.

Berdasarkan video tular itu, memaparkan pemain kelab bola sepak itu bersama beberapa individu dalam sebuah kereta ditahan anggota URB terbabit selepas didakwa memandu secara melawan arus.