Kekecohan pengosongan Kampung Papan: 14 individu termasuk 3 wanita ditahan

Iklan
Shazeli dalam sidang akhbar pelupusan dadah di IPK Selangor pada Jumaat. FOTO SINAR HARIAN - MOHD HALIM ABDUL WAHID

SHAH ALAM - Seramai 14 individu dipercayai membabitkan ahli badan bukan kerajaan (NGO) ditahan berhubung kekecohan ketika kerja-kerja pengosongan dijalankan melibatkan beberapa rumah penduduk di Kampung Papan, Pandamaran di sini Rabu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, jumlah tangkapan terdiri daripada 11 lelaki dan tiga wanita itu direkodkan setakat Khamis.

Iklan
Iklan

"Tangkapan itu ekoran laporan yang dibuat oleh pihak-pihak yang melaksanakan arahan perobohan tersebut.

"Kesemua mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah siasatan awal dijalankan," katanya dalam sidang akhbar pelupusan dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Jumaat.

Iklan

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Jelasnya, jumlah anggota yang ditugaskan bagi menjamin keselamatan di Kampung Papan ialah kira-kira 100 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi.

Iklan

Rabu lalu, Sinar Harian melaporkan situasi tegang berlaku ketika kerja-kerja pengosongan dijalankan melibatkan beberapa rumah penduduk di kampung terbabit.

Sekumpulan anggota polis bersama Pasukan Light Strike Force (LSF) ditempatkan di lokasi bagi menjamin keselamatan dan menghalang penduduk daripada melakukan perkara yang tidak diingini selain pemantauan oleh Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa.

Suasana yang tenang pada kira-kira jam 9 pagi bertukar kecoh apabila sebahagian individu yang mendakwa sebagai penduduk cuba bertindak agresif.

Selain itu, terdapat beberapa penduduk gagal mengawal emosi dan cuba merempuh anggota polis yang bertugas.

Media sebelum ini melaporkan bahawa 20 rumah di Kampung Papan telah mula menjalani kerja-kerja pengosongan sejak Isnin bagi memberi laluan kepada projek pembangunan yang bakal dilaksanakan oleh pemaju.