AKPS kesan penunggang motosikal bolos keluar ke negara jiran tanpa pasport

Iklan
AKPS mengesan kegiatan warga tempatan di sempadan yang bolos ke negara jiran melalui laluan motosikal di Bangunan Sultan Iskandar tanpa melalui pemeriksaan Imigresen.

JOHOR BAHRU – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mengesan kegiatan warga tempatan di sempadan yang bolos ke negara jiran melalui laluan motosikal di Bangunan Sultan Iskandar di sini, tanpa melalui pemeriksaan Imigresen.

AKPS dalam kenyataan berkata, perkara itu dikesan AKPS Bangunan Sultan Iskandar pada 16 Oktober lalu selepas berjaya menahan 26 warga Malaysia di laluan keluar motosikal.

Iklan
Iklan

Menurutnya, siasatan mendapati kesemua mereka telah melakukan perbuatan pembolosan di laluan motosikal dan melanggar Seksyen 2(2) Akta Pasport 1960, iaitu meninggalkan Malaysia tanpa mengemukakan pasport kepada Pegawai Imigresen yang bertugas.

"Berdasarkan penahanan tersebut, seramai 13 orang telah dihadapkan ke Mahkamah PATI Pekan Nenas, Pontian semalam (Khamis) dan masing-masing telah dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,500 setiap seorang.

Iklan

"Tiga individu lagi yang ditahan merupakan pembonceng dan telah mendapat kebenaran Timbalan Pendakwa Raya untuk dibebaskan dengan amaran bertulis," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Tambah kenyataan itu, pada tarikh berasingan, seramai 10 orang lagi telah disabitkan dengan kesalahan dan dikenakan hukuman denda sebanyak RM1,000 setiap orang pada 6 November.

Iklan

Jelasnya, berikutan itu, AKPS menasihatkan orang ramai yang melalui pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar, khususnya di laluan motor supaya mematuhi arahan untuk melapor kepada pegawai bertugas sama ada secara manual atau menggunakan aplikasi yang disediakan semasa masuk atau keluar tanpa gagal.

"Mereka yang gagal berbuat demikian berisiko dikenakan tindakan undang-undang serta berkemungkinan kehilangan pekerjaan kerana pasport akan ditahan oleh pihak Imigresen sepanjang siasatan dijalankan," ujarnya.