Tiga MP kerajaan kemuka 5 cadangan imbangi perjanjian ART Malaysia-AS

Iklan
Wong Chen

KUALA LUMPUR - Tiga ahli Parlimen kerajaan mengemukakan lima cadangan untuk mengimbangi Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang didakwa sangat berat sebelah.

Syor berkenaan digariskan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Iklan
Iklan

Chen berkata, setelah penelitian dan perbincangan mendalam dibuat, mereka melihat perjanjian itu memihak kepada AS lebih-lebih lagi dakwanya Timbalan Menteri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong dalam satu forum awam pada 3 November lalu menyatakan bahawa negara dipaksa untuk ‘berunding’ dengan AS.

“Kami yakin berdasarkan maklum balas rasmi dan kekurangan kejelasan teks perjanjian, pemeteraian perjanjian ini telah dibuat tanpa analisis kos faedah yang komprehensif dan tanpa konsultasi awam yang mencukupi.

Iklan

“Berhubung persoalan politik sama ada Malaysia menyerahkan kedaulatannya melalui perjanjian ini, kami yakin bahawa beberapa artikel (perjanjian) khususnya tetapi tidak terhad kepada Artikel 5.1, 5.2 dan 5.3, sekiranya dikuatkuasakan oleh AS dan dipatuhi Malaysia, akan mengehadkan serta menyekat hak kedaulatan negara,” katanya ketika membacakan kenyataan bersama berkenaan pada sidang akhbar di Dewan Rakyat di sini pada Khamis.

Menurut Chen, mereka khuatir terdapat kesan negatif langsung atau tidak langsung daripada perjanjian itu terhadap negara termasuk kepada imbangan perdagangan, implikasi fiskal dan aliran keluar pelaburan.

Iklan

“Kami juga bimbang bahawa perjanjian ini boleh menjejaskan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) sedia ada serta perjanjian komersial sedia ada dengan negara ketiga.

“Tetapi kami juga mengakui bahawa terdapat beberapa kesan positif daripada perjanjian ini berkaitan perdagangan digital, semikonduktor dan farmaseutikal,” katanya.

Berikutan itu, Chen menegaskan, mereka menggesa Kerajaan Madani untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat semua perkara berkaitan pemeteraian ART tersebut khususnya mengenai dakwaan Malaysia dipaksa untuk berunding.

Mereka turut mendesak kerajaan melantik peguam perdagangan antarabangsa serta pakar luar yang berwibawa untuk memulakan proses pindaan terhadap artikel perjanjian yang ‘lebih membebankan’ dari segi kedaulatan negara.

“Peguam dan pakar ini harus menjelaskan dan memberi nasihat mengenai semua artikel berkaitan takrifan, skop, tanggungjawab dan penguatkuasaan perjanjian tersebut serta menjalankan kajian matriks perundangan terhadap FTA sedia ada dan perjanjian pelbagai hala.

“Kami turut menggesa kerajaan untuk mewujudkan pasukan khas yang terdiri daripada pakar perdagangan antarabangsa termasuk ahli ekonomi bagi menjalankan analisis kos faedah komprehensif ke atas perjanjian terbabit,” ujarnya.

Selain itu, Chen memaklumkan, mereka juga mahu kerajaan mewujudkan satu pasukan penasihat peringkat tinggi mengenai kesan dan implikasi geopolitik daripada perjanjian tersebut terhadap dasar luar serta dasar perdagangan antara Malaysia dan penemuan pasukan tersebut perlu dilaporkan kepada Parlimen.

Mereka juga meminta agar Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri menubuhkan bahagian khas bagi menyelaras urusan dengan kementerian lain untuk memberikan maklumat terkini, menjawab pertanyaan dan berinteraksi dengan pelabur serta peneraju industri.