KOTA KINABALU - Timbalan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Wetrom Bahanda menafikan dakwaan bahawa keputusan untuk tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau dibuat bagi memberi laluan kepada adiknya, Datuk Redonah, yang dinamakan sebagai calon bagi kerusi tersebut oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Beliau berkata, isu itu tidak timbul, sebaliknya keputusan untuk bertanding di DUN Matunggong pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) dibuat kerana hasratnya sejak sekian lama untuk berbakti di kawasan tersebut, yang pernah diumumkan sebagai kerusi yang akan ditandinginya suatu ketika dahulu.
"Saya kena bergerak di Matunggong sebab dari dulu, kalau kamu ingat pada tahun 2018 saya telah diumumkan calon di kawasan tersebut oleh Barisan Nasional (BN) dan hasrat saya memang ingin berbakti.
"Jadi kali ini bila ada peluang untuk saya bertanding, maka saya kembali di Matunggong. Tidak ada isu kerana saya memberi peluang kepada adik saya atau isu lain tetapi saya ingin balik di Matunggong dan rakyat minta saya untuk balik di sana serta berbakti di Matunggong," jelasnya selepas majlis pengumuman senarai calon dan pelancaran manifesto parti itu di sini, pada Khamis.
Sementara itu, pemangku Presiden KDM, Priscella Peter akan mempertahankan kerusi DUN Melalap, yang sebelum ini disandang oleh bapanya, Datuk Peter Anthony, yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 4 Mac lalu.
Sebagai pendatang baharu dalam politik, Priscella mengakui sokongan yang diterimanya hari ini banyak datang daripada penyokong bapanya.
"Sejujurnya, saya memang baharu dalam politik, tetapi mengenai penyokong, saya tidak boleh menafikan bahawa ramai penyokong datang daripada ayah saya kerana beliau merupakan seorang wakil rakyat yang sangat berjaya di Tenom dan Melalap.
"Jadi saya terima bahawa majoriti penyokong masih menyokong saya kerana apa yang berlaku kepada presiden kami, kepada ayah saya. Namun selepas semua usaha yang saya lakukan dalam beberapa bulan ini, saya rasa rakyat di Melalap dan Tenom mahukan satu perubahan baharu, terutama kerana saya orang baharu, saya menjadi imej dan ikon golongan muda sekarang.
"Itu jugalah yang saya dengar di setiap kawasan, di 10 PDM yang telah saya lawati dan saya merancang untuk kembali ke sana selepas hari ini. Jadi, dengan segala kerja keras dan izin Tuhan, saya berharap saya mampu mempertahankan Melalap," katanya.